Perodua QV-E G+ Edition Concept di KLIMS 2026 – bayangan kit badan dan aksesori GearUp untuk QV-E?

Tiada sebarang model baharu dilancarkan oleh Perodua ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun ini. Jenama berkenaan menarik perhatian umum menerusi model konsep yang dikenali sebagai sebagai C2 Concept dan juga skrin teka-teki yang membayangkan model masa hadapan, mungkin Myvi dan Bezza generasi baharu.

Namun ada satu lagi yang menarik perhatian di reruai Perodua jika anda berkunjung ke KLIMS 2026 – ini dia model konsep Perodua QV-E G+ Edition. Seperti yang boleh anda lihat, model konsep ini sebenarnya adalah QV-E yang dipadankan dengan pelbagai aksesori bagi menjadikan rupanya nampak lebih sporty.

Pada bahagian luaran, ia diberikan kit badan yang terdiri dari bahagian gril bampar hadapan yang kini lebih besar yang bersambung dengan splitter udara di bawah dalam kemasan karbon forged, skirt sisi lebih labuh, serta bahgian diffuser pada bawah bampar belakang yang jauh lebih agresif.

Perodua QV-E G+ Edition Concept di KLIMS 2026 – bayangan kit badan dan aksesori GearUp untuk QV-E?

Selain itu ia juga menerima spoiler ‘ekor itik’ yang diletakkan pada bahagian atas jalur lampu belakang dan juga selapis lagi spoiler diletakkan pada bahagian atas spoiler bumbung asal yang diberikan kemasan gentian karbon. Kalau anda perhatikan panel pelindung badan pada kesemua ruang roda juga kini lebih besar. Manakala pada penutup cermin sisi dan penutup bonet hadapan kini telah dibalut dengan pelekat kemasan gentian karbon.

Juga terdapat sentuhan semula diberikan pada kabin di mana tempat duduk QV-E G+ ini diberikan balutan kulit dalam kemasan hitam-merah, dan juga karpet dengan logo G+ diberikan kemasan hitam-merah yang sama.

Ada kemungkinan kit badan dan juga aksesori yang ditunjuk pada QV-E G+ mungkin akan ditawarkan sebagai aksesori dengan jenama GearUp untuk QV-E kelak. Namun buat masa sekarang masih belum apa-apa pengumuman rasmi dibuat oleh Perodua.

Perodua QV-E merupakan model EV pertama yang dihasilkan oleh jenama automotif nasional dari Rawang itu. Ia dibangunkan sendiri oleh Perodua dengan bantuan dari firma kejuruteraan Austria iaitu Magna-Styer, tanpa sebarang hubungan dengan Daihatsu atau Toyota.

EV ini digerakkan motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 285 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 165 km/j. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP 52.5 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 370 km dalam kitaran ujian WLTP.

Untuk mengecas, QV-E boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 60 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit. Ia juga boleh menerima pengecas AC 6.6 kW yang boleh memenuhkan cas dalam masa lapan jam. Perodua QV-E dijual pada harga RM80,000 tanpa bateri, di mana komponen tersebut diberikan secara pajakan dengan bayaran RM275 sebulan untuk tempoh sembilan tahun.