Jetour G700 tampil perdana di KLIMS 2026 — SUV PHEV 2.0T, 904 PS/1,135 Nm, 0-100 km/j 4.6 saat!

Selain model Jetour T2 i-DM PHEV (yang kini dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM168,888), Jetour Malaysia turut mempamerkan model Jetour G700 di KLIMS 2026 yang sedang berlangsung. Ini juga merupakan penampilan pertama SUV berkenaan untuk pasaran Malaysia. Hebahan medianya menyatakan G700 yang ditunjuk ini sebagai sebuah model konsep, tetapi penampilannya lebih kepada produksi, dan ia telah juga dijual di China sejak Oktober tahun lalu.

Ketika di Beijing April lalu, G700 ini tampil dalam dua rekaan gril berbeza. Satu dengan gaya visual ala kotak telur dengan tulisan Jetour, dan satu lagi dengan gaya ala honey comb dengan dua jalur krom dan logo “JT” baharu. Yang ditunjuk di KLIMS ini adalah dari penampilan yang kedua.

Ukuran SUV ini ialah 5,198 mm panjang, 2,050 mm lebar, 1,956 mm tinggi dengan jarak roda 2,870 mm. Di China, pesaing GWM Tank 500 ini ditawarkan dalam konfigurasi enam atau tujuh-tempat duduk, dan unit yang ditunjuk ini adalah dengan konfigurasi pertama tersebut. G700 merupakan sebuah SUV PHEV, yang dilengkapi dengan enjin turbo 2.0 liter, bateri CATL 34.13 kWh, output keseluruhan sistem 904 PS/1,135 Nm, masa 0-100 km/j dicapai dalam 4.6 saat (lebih pantas berbanding Denza B8!), jarak EV sepenuhnya 150 km CLTC, jarak gabungan yang mampu dicapai pula ialah 1,400 km CLTC. Pengecasan DC 170 kW (30%-80% dalam 10 minit!) dan ciri kenderaan-ke-muatan (V2L) pada kadar 6.6 kW.

Kelengkapan untuk pasaran China termasuklah paparan mendatar 35.4-inci yang sama lebar dengan cermin utama, skrin sentuh 15.6-inci, skrin 17.3-inci yang boleh dilipat keluar dari siling, skrin sentuh belakang 8.8-inci, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan, dan sistem bunyi dengan 18-pembesar suara Lexicon. Cukup menarik?

Tags: