Selain Xpeng G6 facelift dan X9 facelift, satu lagi model yang mencuri perhatian di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 ialah Xpeng P7 generasi kedua. Sedan elektrik bersaiz besar itu kini dipamerkan kepada umum sebagai sebahagian daripada barisan produk terkini jenama berkenaan, namun buat masa ini ia belum dirancang untuk dilancarkan di Malaysia.
Dari segi reka bentuk, Xpeng P7 menampilkan imej yang lebih sporty dan futuristik berbanding model sebelumnya. Model ini berukuran 5,017 mm panjang dengan jarak roda sejauh 3,008 mm, selain memiliki lebar 1,970 mm dan tinggi 1,427 mm. Profil badan yang rendah dipadankan dengan lampu hadapan beridentiti berbentuk ‘X’ serta rekaan bahu badan yang lebih tegap, menjadikannya tampil agresif dan moden.
Di pasaran China, varian tertinggi P7 turut ditawarkan dengan pintu hadapan jenis gullwing yang membuka ke atas. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada unit yang dipamerkan di KLIMS dilengkapi ciri tersebut kerana kenderaan berkenaan dikunci dan tidak dibenarkan untuk pemeriksaan lebih dekat oleh pengunjung.
Walaupun begitu, ruang kabin model ini bukan lagi satu misteri kerana ia pernah dipertontonkan sebelum ini pada Auto China 2026 di Beijing. Seperti model-model Xpeng yang lain, bahagian dalaman P7 mengamalkan pendekatan minimalis dengan susun atur yang kemas dan moden.
Antara kelengkapan utama termasuk panel instrumen digital bersaiz 8.8 inci, skrin infotainmen sentuh 15.6 inci serta tempat duduk hadapan berkuasa elektrik yang dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan.
Xpeng P7 dibangunkan menggunakan seni bina elektrik 800 volt yang membolehkan kecekapan pengecasan dan prestasi yang lebih tinggi. Di China, model ini ditawarkan dalam empat varian iaitu 702 Max, 820 Max, 750 AWD Max dan 750 AWD Wing Ultra.
Varian 702 Max menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 74.9 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 702 km mengikut kitaran ujian CLTC. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi motor elektrik yang menghasilkan 367 PS dan 465 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.8 saat.
Bagi varian 820 Max, motor elektrik yang sama digunakan tetapi dipadankan dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 92.2 kWh. Hasilnya, jarak perjalanan meningkat kepada sehingga 820 km, manakala masa pecutan 0-100 km/j bertambah baik kepada 5.4 saat.
Sementara itu, varian 750 AWD Max dan 750 AWD Wing Ultra menggunakan konfigurasi dua-motor dengan tambahan motor elektrik pada gandar hadapan untuk sistem pacuan semua roda (AWD). Gabungan tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 594 PS dan 695 Nm tork.
Dengan angka prestasi yang lebih tinggi, kedua-dua varian AWD mampu memecut 0-100 km/j dalam hanya 3.7 saat, menjadikan P7 antara sedan elektrik berprestasi tinggi dalam segmennya.
Semua varian turut menyokong teknologi pengecasan pantas 5C. Bagi model dengan bateri LFP, proses pengecasan dari 10 hingga 80 peratus hanya mengambil masa sekitar 12 minit, manakala varian dengan bateri NMC memerlukan kira-kira 11.3 minit untuk mencapai tahap pengecasan yang sama.
Bagi mereka yang berharap untuk melihat Xpeng P7 memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat, berita yang diterima mungkin agak mengecewakan. Menurut Bermaz Xpeng, model ini dibawa ke KLIMS 2026 semata-mata untuk tujuan pameran dan belum berada dalam perancangan untuk dilancarkan secara rasmi di negara ini.
Perkara yang sama turut terpakai kepada Xpeng P7+, iaitu versi yang lebih besar dan lebih mampu milik berbanding P7i. Buat masa ini, kedua-dua model tersebut hanya dipertontonkan kepada orang ramai tanpa sebarang rancangan pemasaran rasmi untuk pasaran Malaysia.













