Selepas pelancaran rasminya di Malaysia awal minggu ini, Xpeng X9 facelift 2026 kini membuat penampilan awam pertamanya di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, dari 12 hingga 21 Jun 2026.
Bagi pasaran Malaysia, MPV elektrik premium ini ditawarkan dalam tiga varian. Model asas X9 2WD Standard Range dijual pada harga RM281,073, diikuti X9 2WD Long Range pada RM299,073, manakala varian tertinggi X9 AWD Performance ditawarkan pada harga RM335,573. Semua harga yang diumumkan adalah atas jalan tanpa insurans.
Pembeli turut boleh memilih pemasangan pengecas rumah sebagai pilihan tambahan. Xpeng menawarkan pengecas AC 7 kW single phase bersama pemasangan pada harga RM4,300, manakala pengecas AC 11 kW three phase bersama pemasangan berharga RM5,000.
Untuk bateri, varian 2WD Standard Range menggunakan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 94.8 kWh yang memberikan jarak perjalanan sehingga 537 km mengikut piawaian WLTP. Sementara itu, varian 2WD Long Range dan AWD Performance dilengkapi bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 110 kWh yang masing-masing menawarkan jarak perjalanan sehingga 615 km dan 580 km.
Keupayaan pengecasan pantas DC turut menerima peningkatan ketara berbanding model sebelum ini. Varian Standard Range menyokong pengecasan DC sehingga 537 kW, manakala Long Range dan AWD Performance mampu menerima sehingga 542 kW. Dengan kadar pengecasan tersebut, ketiga-tiga varian hanya memerlukan kira-kira 12 minit untuk mengecas bateri daripada 10 hingga 80 peratus.
Dari aspek prestasi, kedua-dua model pacuan dua roda menggunakan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 346 PS dan 450 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j bagi Standard Range dicatatkan pada 8.2 saat, manakala Long Range sedikit lebih pantas dengan masa 7.75 saat. Varian AWD Performance pula menggunakan sistem dua-motor yang menghasilkan 537 PS dan 640 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam hanya 5.9 saat.
Kesemua varian Xpeng X9 yang ditawarkan di Malaysia hadir dalam konfigurasi tujuh tempat duduk. Varian Standard Range dan Long Range dilengkapi tempat duduk barisan kedua dengan pelarasan elektrik 14 hala. Bagi AWD Performance, tempat duduk barisan kedua dinaik taraf kepada spesifikasi “Grand Sofa” yang menawarkan pelarasan elektrik 18 hala untuk tahap keselesaan yang lebih mewah.
Semua varian turut dilengkapi dua pengecas telefon tanpa wayar 50 watt dengan sistem penyejukan udara, selain fungsi pengudaraan dan pemanas pada kusyen serta penyandar tempat duduk yang boleh dilaraskan kepada tiga tahap.
Barisan ketiga pula menawarkan konfigurasi lipatan 60:40 yang boleh masuk rata ke dalam lantai. Tempat duduk ini turut dilengkapi pelarasan elektrik bagi penyandar dan perehat kepala, selain dua pemegang cawan. Ruang kargo juga dilengkapi suis khas yang membolehkan ketinggian suspensi kenderaan dinaikkan atau diturunkan bagi memudahkan proses memuatkan barangan.
Di bahagian kabin, Xpeng X9 menampilkan panel instrumen digital bersaiz 10.25 inci, skrin infotainmen utama 17.3 inci serta skrin hiburan penumpang belakang bersaiz 21.4 inci yang dipasang pada bumbung. Turut tersedia ialah head-up display berukuran 21 inci.
Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto diberikan sebagai standard, bersama lima soket USB-C, satu soket USB-A dan dua soket kuasa 12 volt. Sistem audio pula menggunakan set bunyi premium Xopera dengan 27 pembesar suara.
Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, Xpeng X9 dilengkapi pakej XPilot Assist ADAS yang menggunakan cip XP5 Turing AI, tiga radar gelombang milimeter, 12 sensor radar ultrasonik serta 12 kamera termasuk kamera pemantauan keletihan pemandu.
Antara ciri yang ditawarkan termasuk kawalan jelajah adaptif, kawalan pemusatan lorong, bantuan selekoh adaptif, bantuan had laju pintar, bantuan parkir automatik dipertingkat, bantuan keluar parkir automatik, parkir kawalan jauh, fungsi memanggil kenderaan secara jauh, paparan kamera 360 darjah dan paparan casis lutsinar.
Sistem keselamatan aktif lain merangkumi pemantauan jarak hadapan, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan autonomous (AEB), pengecaman papan tanda trafik, sistem bantuan kelajuan, pemantauan keadaan pemandu, pengesan titik buta, amaran pembukaan pintu, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang, amaran kenderaan sisi ketika mengundur serta bantuan laluan sempit.
Untuk pasaran Malaysia, Xpeng X9 facelift 2026 didatangkan dengan jaminan kenderaan selama lima tahun atau 120,000 km. Pek bateri dan motor pacuan pula dilindungi jaminan selama lapan tahun atau 160,000 km. Selain itu, pembeli turut menerima pakej servis percuma selama lima tahun atau sehingga 100,000 km.











































