MG QS dipertonton di Malaysia – SUV premium tujuh tempat duduk enjin 2.0 liter turbo, 208 PS, AWD

Selain membuka tempahan untuk MG ZS baru, SAIC Motor Malaysia turut mempamerkan beberapa model lain sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 12 hingga 21 Jun 2026. Antara model yang menarik perhatian ialah MG QS, sebuah SUV premium tujuh tempat duduk yang kini dipamerkan bagi menilai sambutan dan minat pengguna tempatan.

Walaupun belum disahkan untuk pelancaran rasmi di Malaysia, kehadiran MG QS di KLIMS memberi gambaran bahawa model ini berpotensi dipertimbangkan untuk pasaran tempatan sekiranya menerima maklum balas yang positif daripada pengunjung.

Dari segi dimensi, MG QS tampil dengan ukuran panjang 4,983 mm, lebar 1,967 mm dan tinggi 1,778 mm, manakala jarak roda mencecah 2,915 mm. Saiznya yang besar meletakkan model ini dalam kategori SUV keluarga premium, dengan fokus terhadap keselesaan dan praktikaliti untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.

MG QS dipertonton di Malaysia – SUV premium tujuh tempat duduk enjin 2.0 liter turbo, 208 PS, AWD

Ruang kabin menawarkan tiga baris tempat duduk bersaiz penuh yang mampu menempatkan sehingga tujuh penumpang. Barisan kedua dilengkapi fungsi gelongsor bagi memberikan fleksibiliti sama ada untuk menambah ruang kaki penumpang atau meningkatkan kapasiti ruang kargo. Apabila barisan kedua dan ketiga dilipat, ruang simpanan belakang mampu menawarkan kapasiti sehingga 1,052 liter.

Bagi pasaran tertentu, MG QS ditawarkan dengan pilihan rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV). Namun, varian utama menggunakan enjin petrol turbo 2.0 liter yang menghasilkan 208 PS dan 360 Nm tork. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan.

Model ini turut ditawarkan dalam pilihan pacuan roda hadapan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD). Unit yang dipamerkan di KLIMS 2026 merupakan varian AWD, yang dijangka menjadi pilihan utama bagi mereka yang mahukan tahap kestabilan dan cengkaman yang lebih baik.

Dari aspek kelengkapan, MG QS hadir dengan panel instrumen digital 12.3 inci yang digabungkan bersama skrin infotainmen 12.3 inci. Turut disediakan ialah bumbung panoramik, sistem pendingin hawa tiga zon lengkap dengan corong udara untuk penumpang barisan kedua dan ketiga serta pintu belakang berkuasa elektrik.

Bagi varian tertinggi Ultimate AWD, tahap kemewahan dipertingkatkan menerusi penggunaan kemasan kulit premium, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan pengudaraan serta sistem audio premium Bose dengan 12 pembesar suara. Varian ini juga menggunakan rim aloi 21 inci yang dipadankan dengan tayar bersaiz 235/45.

Dari sudut keselamatan, MG QS dilengkapi tujuh beg udara bersama pakej penuh sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). Antara ciri yang ditawarkan termasuk kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan autonomous (AEB), bantuan pertukaran lorong, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong serta amaran lintasan trafik belakang dengan fungsi brek automatik.