MG ZS Hybrid+ di Malaysia – SUV segmen B dibuka untuk tempahan, pelanggan terawal dapat rebat RM3k

SAIC Motor Malaysia secara rasmi memperkenalkan spesifikasi tempatan bagi MG ZS sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung di MITEC. SUV segmen B itu kini dibuka untuk tempahan dan akan ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa, iaitu Lux Turbo dan Lux Hybrid+.

Daripada kedua-dua varian tersebut, MG ZS Hybrid+ akan dilancarkan terlebih dahulu di pasaran Malaysia, manakala versi enjin petrol turbo dijangka menyusul pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Walaupun ramai mengenali MG melalui model elektrik terbarunya, MG S5 EV, hakikatnya nama ZS sudah lebih awal diperkenalkan di Malaysia. Model ZS EV merupakan antara model pertama yang dilancarkan oleh MG Motor Malaysia bersama MG4 pada Mac 2024. ZS generasi baru kemudiannya diperkenalkan pada penghujung tahun yang sama dan turut dipamerkan semasa KLIMS 2024.

Dari segi dimensi, MG ZS generasi terbaru tampil lebih besar berbanding model terdahulu. Panjang keseluruhan kini mencecah 4,430 mm, iaitu lebih 100 mm lebih panjang, manakala lebarnya meningkat kepada 1,818 mm. Jarak roda juga bertambah kepada 2,610 mm, menjadikannya antara SUV segmen B terbesar dalam pasaran ketika ini.

MG ZS Hybrid+ di Malaysia – SUV segmen B dibuka untuk tempahan, pelanggan terawal dapat rebat RM3k

Ruang praktikal turut dipertingkatkan dengan kapasiti but sebesar 443 liter, yang boleh diperluaskan sehingga 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.

Bagi varian Hybrid+, sistem hibrid yang digunakan menggabungkan enjin petrol 1.5 liter aspirasi semula jadi yang menghasilkan 102 PS dan 128 Nm tork bersama motor elektrik berkuasa 136 PS dan 250 Nm. Sistem ini dipadankan dengan transmisi hibrid tiga kelajuan serta bateri berkapasiti 1.83 kWh.

Gabungan keseluruhan sistem menghasilkan 196 PS dan 465 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat. MG turut mendakwa penggunaan bahan api berada pada kadar 5.1 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan piawaian WLTP.

MG ZS Hybrid+ di Malaysia – SUV segmen B dibuka untuk tempahan, pelanggan terawal dapat rebat RM3k

Menurut MG, ZS Hybrid+ merupakan SUV hibrid segmen B terpantas dalam pasaran ketika ini. Dengan tangki bahan api berkapasiti 41 liter, model tersebut dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 870 kilometer bagi satu isian penuh.

Sementara itu, varian Lux Turbo yang akan diperkenalkan nanti menggunakan enjin 1.5 liter turbo yang menghasilkan 170 PS dan 275 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi CVT.

Dari aspek reka bentuk dan kelengkapan, MG ZS hadir dengan lampu utama “Connected Hunter Eyes”, lampu belakang LED, rim aloi bersaiz 18 inci yang dibalut tayar 215/50, serta paparan infotainmen terapung bersaiz 12.3 inci. Kluster instrumen digital turut disediakan sebagai kelengkapan standard.

Turut ditawarkan ialah pakej bantuan pemandu MG Pilot ADAS 2.5 yang merangkumi pelbagai fungsi keselamatan dan bantuan pemanduan moden. Selain itu, aplikasi MG iSmart membolehkan pemilik mengakses serta mengawal beberapa fungsi kenderaan dari telefon pintar secara jarak jauh.

Untuk pasaran Malaysia, MG ZS Hybrid+ ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu merah, perak, hitam dan putih. Kesemua varian hadir dengan kemasan kabin serba hitam.

Harga rasmi serta spesifikasi penuh model ini akan diumumkan semasa pelancaran rasmi nanti. Namun begitu, tempahan telah dibuka dengan yuran tempahan serendah RM99. Pelanggan yang membuat tempahan awal turut akan menerima rebat bernilai RM3,000 selain pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.