Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Honda Prelude generasi keenam ke pasaran Malaysia ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 hari ini. Coupe GT ini diumumkan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM278,000.
Prelude generasi baharu ini dikenali dengan kod casis BF1, dan ia diasaskan dari platform yang sama dengan Honda Civic generasi ke-11 tetapi diubah kepada sebuah Coupe dengan konfigurasi tempat-duduk 2+2. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,522 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,355 mm dan jarak roda sejauh 2,605 mm.
Untuk memberikan rasa pengendalian yang sporty, Prelude berkongsi banyak komponen casis yang diambil dari Honda Civic Type R FL5, termasuk suspensi hadapan topang dua paksi, di mana ia turut menampilkan lebar trek roda hadapan dan belakang yang sama sepenuhnya seperti Civic Type R. Sistem suspensi adaptif Type R turut diberikan pada Prelude, namun ia diberikan talaan yang lebih tersendiri iaitu keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.
Malah Honda turut mengambil sepenuhnya sistem brek Brembo dari Civic Type R FL5 untuk dipadankan pada Prelude generasi baharu ini, bersama set roda dengan rim aloi 19-inci pelbagai jejari dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar 235/40R19.
Namun untuk unit rangkaian kuasa, Prelude dipadankan dengan unit rangkaian kuasa e:HEV yang menampilkan teknologi hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Unit rangkaian kuasa LFC-H4 tersebut dilengkapi enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 PS dan juga tork 182 Nm, di mana fungsi utama enjin ini sebagai generator untuk mengecas bateri hibrid 72-sel 1.05 kWh.
Manakala roda hadapan pula dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 184 PS dan tork maksima 315 Nm dengan menerima kuasa dari bateri hibrid berkenaan. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan. Menurut Honda secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 203 PS dan tork maksima 315 Nm.
Pada Civic e:HEV, unit rangkaian kuasa ini sudahpun diberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu bagi mengelakkan rasa janggal pada pemandu ketika memandu kereta tersebut. Namun untuk Prelude, bunyi berkenaan ditambah baik dengan Active Sound Control (ASC). Malah dengan mod Honda S+ Shift, pemandu turut boleh ‘menukar gear’ palsu tersebut secara manual menerusi pedal penukar gear aluminium yang dipadankan pada roda stereng.
Mod berkenaan akan memberikan lapan nisbah gear palsu, dan akan turut memberikan rasa ‘shift shock’ seperti kotak gear sebenar setiap kali gear ditukar. Menurut Honda, rasa dan kepantasan tukaran gear palsu pada Prelude ini diberikan rasa seperti tukaran kotak gear DCT Honda NSX generasi kedua. Sistem ini juga akan memberikan bunyi throttle blip setiap kali gear palsu berkenaan diturunkan secara manual.
Dalam kabin, sekali tengok papan pemuka Prelude ini mungkin nampak sama seperti Civic, tetapi ia dibezakan dengan rekaan liang penghembus pendingin hawa yang tidak merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut. Konsol tengah juga lebih tersendiri kerana tombol gear konvensional digantikan dengan suis-suis tekan ‘PRND’, di mana pada kiri dan kanan disertakan dengan butang mod ‘S+’, pemilih mod pemanduan (Comfort, GT, Sport dan Individual) serta suis brek parkir elektrik.
Apa yang menarik, rekaan tempat duduk hadapan Prelude generasi keenam ini diinspirasikan dari rekaan tempat duduk ikonik Prelude dari generasi pertama sehingga keempat, di mana sokongan ‘bucket’ diberikan hanya pada bahagian bawah, dengan perehat badan sebelah atas yang kecil. Kedua-dua tempat duduk depan berkenaan dibalut dengan kulit dan menerima kawalan elektrik dengan enam-hala untuk pemandu dan empat-hala untuk penumpang. Manakala tempat duduk belakang hanya dibalut dengan fabrik.
Honda Prelude pasaran Malaysia ini datang dengan bahagian dalaman dengan tema warna biru-putih sahaja. Antara perincian lain yang turut dipadankan termasuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Display Audio 9-inci dengan Google Built-in serta menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara paparan instrumen digital dengan skrin TFT 10.2-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara.
Perincian lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa dua zon, cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin LED, dua port USB-C serta set pedal sport aluminium.
Untuk keselamatan pula Prelude BF1 ini menerima tujuh-beg udara, empat penderia parkir hadapan dan empat penderia parkir belakang, kamera undur serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing dengan fungsi penuh termasuk cruise control adaptif, pemantau titik buta, pemantau lintasan trafik dan banyak lagi.
Pelanggan di Malaysia boleh memilih Prelude dalam dalam tiga pilihan warna iaitu Winter Frost Pearl, Rallye Red dan Crystal Black Pearl. Setiap pembelian Prelude ini akan dilindungi oleh waranti selama-lima tahun tanpa had perbatuan serta servis lima kali (kos buruh sahaja) selama lima-tahun atau 100,000 km. Sama seperti model-model hibrid Honda yang lain, Prelude turut diberikan waranti untuk bateri serta komponen-komponen hibrid berkaitan selama 10-tahun tanpa had perbatuan.




