Seperti yang dibayangkan sebelum ini, Bermaz Motor hari ini secara rasmi mendedahkan sepenuhnya model generasi ketiga untuk SUV segmen-C Mazda CX-5 ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Serentak dengan itu, tempahan bagi model tersebut juga dibuka di semua bilik pameran Mazda seluruh negara bermula esok, 12 Jun 2026 dan ia dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.
Harga rasmi bagi SUV ini masih lagi belum diumumkan, namun menurut Bermaz Motor ia dianggarkan akan dijual pada harga RM170k. Bermaz juga tidak mendedahkan sebarang perincian lain termasuk spesifikasi untuk pasaran Malaysia dan sebagainya.
Walau bagaimanapun sebelum ini Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh ada mendedahkan bahawa CX-5 generasi baharu ini akan akan ditawarkan terlebih dahulu dalam versi diimport sepenuhnya (CBU), diikuti oleh versi CKD selepas itu.
Beliau turut menjelaskan, ketika dilancarkan nanti CX-5 generasi ketiga tersebut hanya akan ditawarkan dengan 2.5 liter, dan ia akan dijual sekali bersama model generasi kedua yang tidak akan dihentikan jualannya tetapi hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter. Buat masa sekarang CX-5 generasi kedua sedia ada pada pasaran Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 2.5 liter NA dan juga 2.5 liter Turbo selain 2.0 liter NA.
Pada pasaran lain CX-5 generasi baharu ini ditawarkan dengan enjin e-Skyactiv G dengan sistem hibrid ringkas 24-volt berkuasa 141 PS/238 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan automatik Skyactiv-Drive, memacu hanya roda hadapan.
Unit yang dipamerkan di KLIMS ia turut hadir dengan sistem pacuan semua roda, namun Bermaz menyatakan bahawa spesifikasi yang akan dijual di Malaysia kelak mungkin berbeza dari apa yang ditunjuk hari ini. Model generasi baharu ini juga menerima sistem brake-by-wire baharu dan juga talaan semula pada casis dan suspensi bagi menambahbaik aspek pengendalian dan keselesaan.
Mazda CX-5 baharu ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya.
Jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh iaitu 2,775 mm (+75 mm), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.
Dengan badan yang lebih tinggi, Mazda bukan hanya dapat menyediakan ruang kepala yang lebih selesa kepada penumpang, malah pintu belakang SUV ini dapat direka dengan bukaan lebih luas bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – penumpang yang tinggi tidak perlu terlalu menunduk, manakala penumpang kanak-kanak dan juga warga emas juga lebih mudah masuk kerana bendul pintu yang direka lebih rendah.
Saiz badan yang lebih besar dan panjang ini juga memberikan ruang but 61 liter lebih luas berbanding model generasi sebelumnya. Malah ia bukan soal ruang semata-mata, kerana Mazda menghasilkan pintu tailgate belakang juga dengan bukaan lebih luas dan bahagian bawah lebih rendah bagi memastikan barang yang besar boleh dimasukkan dengan mudah ke ruang berkenaan.
Untuk pengayaan luaran, Mazda menyatakan rekaan Kodo pada SUV serba baharu ini menerapkan konsep “Wearable Gear”. Lampu hadapan masih direka nipis, namum kali ini ia kelihatan seperti sebahagian dari gril hadapan berwarna hitam yang masih lagi besar. Gril bawah bampar CX-5 baharu ini juga nampak lebih besar dari model sebelum ini.
Secara asasnya identiti bayangan sisi badan CX-5 ini masih dikekalkan, namun untuk menghasilkan pintu belakang dan dan pintu tailgate yang lebih praktikal tadi menyebabkan garis bumbung belakang nampak lebih tinggi dan kurang landai. Ruang roda model baharu ini juga nampak lebih ‘petak’ berbanding model lama yang lebih bulat.
Di belakang pengayaan lampu diubah terus dengan rekaan kluster berbentuk-L yang lebih nipis dan panjang seperti dari barisan SUV lebih besar Mazda CX-60 dan CX-80. Tiada logo ‘M’, tetapi menampilkan skrip ‘MAZDA’ baharu yang lebih ringkas dilekat di tengah pintu tailgate. Sepasang tip ekzos bulat masih kelihatan pada kedua-dua sisi bahagian belakang CX-5 baharu ini.
Untuk bahagian dalaman, tiada lagi suis-suis fizikal untuk kawalan suhu dan penghembus penghawa dingin serta kawalan audio, di mana semuanya telah dipindahkan ke skrin sesentuh gergasi dengan pilihan saiz 12.9-inci dan 15.6-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka – unit yang ditunjuk di KLIMS ini menampilkan pilihan skrin paling besar bersama paparan instrumen 10.25-inci.
Konsol gear juga nampak lebih ringkas dengan hanya menampilkan suis untuk brek parkir elektronik serta fungsi auto hold, dan tiada lagi suis putar serta suis tekan Mazda Commander, serta tiada lagi suis pemilih mod pemanduan. Ia juga mempunyai pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang terletak di bawah perehat tangan.
Bagi sistem infotainmen, selain skrin yang dibekalkan kini semakin besar, CX-5 2026 ini juga merupakan model pertama Mazda yang dibekalkan dengan servis Google bina dalam, memberikan fungsi seperti Google Maps, kawalan menggunakan suara AI Gemini, Google Apps Store dan banyak lagi.




















































