Mazda CX-5 2026 – lebih 10k unit ditempah di Jepun selepas sebulan dilancar; skrin gergasi diterima baik

Pelbagai persepsi timbul apabila Mazda mendedahkan model generasi ketiga CX-5 tahun lalu, terutamanya pada bahagian kabin di mana ia dikatakan ‘tidak cukup Mazda’ kerana tampil seperti model-model dari China dengan skrin infotainmen gergasi, bukan sahaja melenyapkan suis ‘Mazda Commmander’ malah suis-suis fizikal asas untuk kawalan audio dan penghawa dingin pada papan pemuka juga digantikan dengan kawalan dalam skrin.

Namun persepsi nampaknya kekal sebagai persepsi kerana model berkenaan mendapat sambutan yang sangat hangat di Jepun – selepas dilancarkan di pasaran tersebut pada 21 Mei lalu, Mazda kini telah menerima lebih 10,000 tempahan dari pelanggan seluruh Jepun. Permintaan tersebut adalah lima kali ganda dari jangkaan asal kerana Mazda hanya mensasarkan untuk menjual 2,000 unit sebulan CX-5 generasi baharu tersebut di Jepun.

Menurut Mazda, skrin gergasi yang digelar sebagai Human-Machine Interface (HMI) berkenaan menjadi antara fungsi yang disukai oleh pelanggan kerana ia “menjadikan masa yang diluangkan di dalam kereta lebih selesa dan memuaskan”.

Perubahan rekaan bahagian belakang yang kini lebih besar dan praktikal juga menjadi sebab utama mengapa CX-5 generasi baharu ini mendapat sambutan hangat di Jepun dengan komen dari pelanggan seperti “Ruang tempat duduk belakang lebih luas dan selesa,” “Kini boleh mempertimbangkan untuk tidur di dalam kereta,” dan “Bukaan pintu lebih lebar, menjadikannya lebih mudah untuk meletakkan dan mengeluarkan tempat duduk kanak-kanak.”

Mazda CX-5 2026 – lebih 10k unit ditempah di Jepun selepas sebulan dilancar; skrin gergasi diterima baik

Rekaan bahagian belakang CX-5 generasi baharu ini sememangnya bertentangan dengan rekaan model generasi terdahulu yang lebih mementingkan rupa berbanding praktikaliti. Mazda menghasilkan CX-5 generasi baharu ini lebih besar dari model generasi sebelumnya dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm.

Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya. Jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh iaitu 2,775 mm (+75 mm), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.

Dengan badan yang lebih tinggi, Mazda bukan hanya dapat menyediakan ruang kepala yang lebih selesa kepada penumpang, malah pintu belakang SUV ini dapat direka dengan bukaan lebih luas bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – penumpang yang tinggi tidak perlu terlalu menunduk, manakala penumpang kanak-kanak dan juga warga emas juga lebih mudah masuk kerana bendul pintu yang direka lebih rendah.

Mazda CX-5 2026 – lebih 10k unit ditempah di Jepun selepas sebulan dilancar; skrin gergasi diterima baik

Saiz badan yang lebih besar dan panjang ini juga memberikan ruang but 61 liter lebih luas berbanding model generasi sebelumnya. Malah ia bukan soal ruang semata-mata, kerana Mazda menghasilkan pintu tailgate belakang juga dengan bukaan lebih luas dan bahagian bawah lebih rendah bagi memastikan barang yang besar boleh dimasukkan dengan mudah ke ruang berkenaan.

Di Jepun Mazda CX-5 generasi baharu ini ditawarkan dengan hanya satu pilihan penggerak iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt. Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10.5 saat.

Menurut Mazda lagi varian gred “L” merupakan varian yang paling laris di mana 65% dari pelanggan yang menempah CX-5 ini di Jepun memilih varian dengan kemasan tertinggi tersebut. Varian pertengahan “G” pula menjadi pilihan 32% pelanggan yang menempah, dan hanya 3% pelanggan yang memilih CX-5 2026 dalam varian asas “S”. Walaupun warna merah Soul Red Crystal Metallic masih menjadi warna hero CX-5, pelanggan di Jepun lebih menggemari warna Rhodium White Premium Metallic di mana 40% dari pelanggan yang menempah memilih warna putih tersebut.

Mazda CX-5 2026 ini telah pun didedahkan pada pasaran Malaysia ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 dua minggu lalu. Pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor juga telah membuka tempahan untuk SUV tersebut, dengan harga anggaran RM170,000 dan dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Bermaz belum mendedahkan sebarang perincian lain termasuk spesifikasi untuk pasaran Malaysia dan sebagainya. Walau bagaimanapun sebelum ini Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh ada mendedahkan bahawa CX-5 generasi baharu ini akan akan ditawarkan terlebih dahulu dalam versi diimport sepenuhnya (CBU), diikuti oleh versi CKD selepas itu.

Beliau turut menjelaskan, ketika dilancarkan nanti CX-5 generasi ketiga tersebut hanya akan ditawarkan dengan 2.5 liter, dan ia akan dijual sekali bersama model generasi kedua yang tidak akan dihentikan jualannya tetapi hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter. Buat masa sekarang CX-5 generasi kedua sedia ada pada pasaran Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 2.5 liter NA dan juga 2.5 liter Turbo selain 2.0 liter NA.

GALERI: Mazda CX-5 generasi ketiga di KLIMS 2026

Tags: