BYD Malaysia bakal perkenal teknologi Megawatt Flash Charging — 1.5 megawatt, SoC 10%-70% dalam 5 minit

BYD Malaysia telah mengesahkan rancangan untuk memperkenalkan teknologi Megawatt Flash Charging di sini. Ketika ini, corak penggunaannya masih dalam fasa kaji selidik dan perancangan. Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, aplikasi awal teknologi tersebut akan tertumpu di bilik pameran dan pusat servis BYD dan Denza yang terpilih terlebih dahulu.

“Ketika ini, kami sedang giat melakukan penyelidikan pelan pelaksanaan, termasuk kaedah tarif pengecasan, penyepaduan sistem pembayaran, penyepaduan aplikasi mudah alih serta tahap pengalaman pengguna keseluruhan bagi memastikan perkhidmatan yang stabil dan lancar,” katanya dalam satu sesi tidak formal bersama media anjuran BYD yang sedang berlangsung di China.

Jacob menambah bahawa apabila infrastruktur bertambah baik, teknologi ini akan diperluas ke lebih banyak lokasi awam. BYD Malaysia juga sedang meneroka kerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa berkaitan, pengendali pengecasan serta pihak berkepentingan lain untuk mempercepatkan pelaksanaannya.

BYD Malaysia bakal perkenal teknologi Megawatt Flash Charging — 1.5 megawatt, SoC 10%-70% dalam 5 minit

BYD mendakwa kuasa pengecasan maksimum bagi Megawatt Flash Charging generasi kedua adalah sehingga 1,500 kW (1.5 MW), yang beroperasi bersama sistem storan tenaga bateri (BESS). Dengan binaan 1000-volt yang digabungkan dengan 1,000 ampere arus pengecasan, pengecasan lima minit dengan model yang serasi pada suhu bilik mampu menawarkan tambahan jarak kira-kira 400 km, sementara pengecasan dari 10% hingga 70% SoC pula mengambil masa kira-kira lima minit. Bagi mendapatkan bateri daripada SoC 10% hingga 97%, ia hanya mengambil masa sembilan minit.

Jacob juga berkata, selagi teknologi yang digunakan adalah serasi, kemudahan Megawatt Flash Charging juga akan tersedia untuk kegunaan EV yang bukan keluaran BYD pada masa hadapan. Bagaimanapun, di peringkat sekarang, teknologi pengecasan berkenaan direka khusus untuk Super e-Platform oleh BYD, dengan bilangan awal model yang boleh menggunakan satu megawatt atau lebih kuasa pengecasan adalah terhad.

Syarikat itu belum mendedahkan lokasi khusus, harga atau tarikh pelancaran rasmi kumpulan pertama stesen Megawatt Flash Charging, dengan butiran lanjut dijangka akan dikongsikan kelak. Malaysia dijangka menjadi satu daripada pasaran pertama di Asia Tenggara yang menerima teknologi pengecasan ultra pantas tahap megawatt tersebut.