
Kilang pemasangan enjin Proton di Tanjong Malim bakal memainkan peranan penting dalam pertumbuhan syarikat itu pada masa depan. Dibuka pada tahun 2022 dengan pelaburan sebanyak RM1.8 bilion, kilang berkenaan baru-baru ini telah menjalani peningkatan melibatkan pelaburan RM121 juta untuk menghasilkan enjin hibrid khusus (DHE) dan transmisi (DHT) bagi kenderaan hibrid dan plug-in hybrid, serta unit pacuan elektrik (EDU) untuk EV.
Kilang berkenaan direka untuk mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 240,000 unit setahun, dengan Proton telah mensasarkan sebanyak 200,000 jualan tahun ini. Walaupun pengeluaran bagi unit DHE, DHT dan EDU kini diperoleh dari China, ia bakal diambil alih dan dikeluarkan secara tempatan pada masa akan datang.
Dan itu tidak termasuk kereta yang akan dibekalkan oleh Proton kepada Geely untuk tujuan eksport. Syarikat itu memaklumkan bahawa komponen yang dihasilkan di kilang enjin tersebut telahpun digunakan untuk produk rakan niaga Geely yang lain di pasaran seperti di Vietnam, Afrika Selatan, dan juga Mexico. Begitu juga dengan Saga yang bakal dijual di Filipina (menggunakan lencana Geely). Oleh itu, bilangan enjin yang dihasilkan juga pasti akan meningkat dengan ketara.

Oleh itu, bagi menyokong produk masa hadapan dan permintaan eksport yang semakin meningkat, Proton telah mengumumkan akan menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan kilang tersebut kepada 400,000 unit menjelang 2028. Ini akan menjadi landasan yang betul untuk mencapai matlamatnya menjadi jenama kereta nombor satu Malaysia menjelang 2029 — Proton perlu menjual kenderaannya dalam jumlah yang menghampiri angka tersebut jika ingin mengatasi Perodua.
Satu langkah untuk mencapai sasaran itu adalah melalui model hibrid mampu milik, dengan yang pertama dijangka akan dijual pada akhir tahun ini dalam bentuk AMA02 — model kedua berdasarkan Advanced Modular Architecture (AMA) oleh Proton selepas Saga. Dijangka akan dikenali sebagai Saga Cross, model tersebut mungkin akan tampil dengan reka bentuk SUV segmen-A untuk menyaingi Perodua Ativa.
