Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini berkenaan kilang enjinnya di Tanjong Malim yang kini perluaskan operasi bagi memasang unit rangkaian kuasa dengan teknologi elektrifikasi, Proton turut mengesahkan bahawa kilang tersebut kini membekalkan komponen untuk model-model Geely yang dijual pada pasaran antarabangsa seperti Vietnam, Mexico dan Afrika Selatan.
Proton tidak memperincikan komponen-komponen yang dibekalkan tersebut, namun seperti yang kita tahu sebelum ini Geely Coolray untuk pasaran Vietnam sememangnya dipasang oleh kilang Proton di Tanjong Malim dan dieksport ke negara tersebut sejak penghujung 2024, sebelum kilang Geely di Vietnam mula beroperasi pada penghujung tahun ini.
Baru-baru ini Coolray di Vietnam turut diperkenalkan dalam versi facelift dan menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo GDI, sama seperti enjin i-GT pasaran Malaysia – versi tersebut juga mungkin datang dari kilang Proton Tanjong Malim. Vietnam merupakan pasaran yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD), jadi komponen yang sama mungkin turut dieksport ke Mexico yang juga pasaran LHD.
Manakala bagi pasaran Afrika Selatan, seperti yang baru kami laporkan, Geely baru sahaja melancarkan kembar X50 iaitu Coolray di negara tersebut. Coolray merupakan model pertama dengan enjin pembakaran sepenuhnya dilancarkan di Afrika Selatan, di mana tiga model terawal yang dilancarkan adalah dua EV iaitu Geely E5 dan E2, serta E5 DM-i yang dipacu unit rangkaian kuasa PHEV.
Jadi walaupun X50 bakal meninggalkan pasaran tersebut kerana Proton telah dilaporkan bakal ‘gulung tikar’ di Afrika Selatan kerana model-model yang dijual menampilkan harga yang tidak kompetitif, Proton masih mendapat manfaat menerusi enjin yang dibekalkan kepada Coolray yang dijual di pasaran tersebut. Coolray pasaran Afrika Selatan menampilkan rupa luaran yang sama seperti X50 sebelum facelift, namun ia dipadankan dengan bahagian dalaman serta enjin 1.5 liter empat-silinder turbo yang sama seperti X50 facelift pasaran Malaysia.
Buat masa sekarang, kilang enjin Proton Tanjong Malim mampu untuk menghasilkan sehingga 240,000 unit enjin setahun untuk dibekalkan untuk model-model pasaran tempatan dan juga eksport, dan ia dijangka mampu menghasilkan sehingga 400,000 enjin setahun menjelang 2028.
Buat masa sekarang terdapat 16 vendor yang membekalkan komponen kepada kilang enjin tersebut, di mana separuhnya daripadanya adalah berpengkalan di Malaysia bagi menghasilkan satu komponen lengkap dengan lebih banyak sumber tempatan. Ini membolehkan ia terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi pembuatan automotif dan teknologi, kata Proton lagi.

