Hampir 90% pemandu guna minyak tidak sampai 200L sebulan, kebanyakan B40/M40 tidak terkesan -MoF

Kerajaan mengekalkan had pembelian bahan api bersubsidi sebanyak 200 liter sebulan bagi penerima yang layak di bawah program Budi Madani, yang merangkumi inisiatif Budi Madani RON 95 (Budi95) dan Budi Madani Diesel (Budi Diesel).

Menerusi program tersebut, rakyat Malaysia yang memenuhi syarat boleh membeli sehingga 200 liter petrol RON 95 bersubsidi serta diesel B10 atau campuran yang lebih tinggi pada kadar subsidi yang ditetapkan kerajaan setiap bulan.

Sebelum ini, kuota Budi95 ditetapkan pada kadar 300 liter sebulan ketika program itu diperkenalkan pada September tahun lalu. Bagaimanapun, had tersebut telah dikurangkan sementara kepada 200 liter bermula Mac 2026 susulan peningkatan mendadak harga minyak mentah global akibat konflik yang berlaku di Asia Barat, yang menyebabkan kerajaan menanggung kos subsidi yang lebih tinggi.

Hampir 90% pemandu guna minyak tidak sampai 200L sebulan, kebanyakan B40/M40 tidak terkesan -MoF

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan semakan terhadap pelaksanaan Budi Diesel yang membolehkan rakyat Malaysia menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di seluruh negara. Mekanisme pembelian diesel bersubsidi adalah sama seperti yang digunakan untuk petrol RON 95 bersubsidi, namun kedua-dua jenis bahan api itu berkongsi kuota bulanan yang sama.

Ini bermakna kuota 200 liter yang diberikan tidak diperuntukkan secara berasingan untuk petrol dan diesel, sebaliknya merangkumi kedua-dua bahan api tersebut secara keseluruhan. Perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna mengenai mengapa kerajaan tidak meningkatkan semula had penggunaan kepada jumlah yang lebih tinggi.

Menurut Kementerian Kewangan, keputusan untuk mengekalkan kuota sedia ada dibuat berdasarkan data penggunaan sebenar yang menunjukkan hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api setiap bulan. Malah, purata penggunaan bulanan direkodkan sekitar 100 liter sahaja bagi kebanyakan pengguna.

Hampir 90% pemandu guna minyak tidak sampai 200L sebulan, kebanyakan B40/M40 tidak terkesan -MoF

Kementerian menjelaskan bahawa majoriti rakyat, termasuk golongan B40 dan M40, tidak terjejas dengan had kelayakan yang ditetapkan ketika ini kerana keperluan bahan api mereka masih dapat dipenuhi sepenuhnya melalui pembelian pada harga bersubsidi.

Selain itu, kerajaan turut menegaskan bahawa penetapan kuota berkenaan memainkan peranan penting dalam mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan subsidi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebelum ini, sistem subsidi menyeluruh yang dilaksanakan telah dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan rentas sempadan yang mengambil kesempatan terhadap perbezaan harga bahan api antara Malaysia dan negara jiran.

Pada masa yang sama, terdapat juga syarikat yang menggunakan bahan api bersubsidi secara besar-besaran bagi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keuntungan perniagaan mereka. Dengan pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar menerusi program Budi Madani, kerajaan percaya bantuan yang disediakan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan yang benar-benar layak, sekaligus memastikan manfaat subsidi dinikmati oleh kumpulan sasar yang sepatutnya.