
Setelah dipertonton pada bulan Mei lalu, Chery Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi Chery Tiggo 9. Merupakan sebuah SUV flagship dalam segmen D dengan tujuh-tempat duduk, SUV ini dijual dengan harga bermula RM166,800 untuk pasaran Malaysia.
Sempena pelancarannya, dua pakej ditawarkan untuk pembeli terawal. Pakej pertama, dengan harga bermula RM166,800 dengan pakej Flexi, yang terdiri daripada jaminan tujuh-tahun/150,000 km untuk kenderaan, jaminan 10-tahun/1,000,000 km dan servis percuma selama lima-tahun.
Pakej kedua pula ialah Prime dengan harga RM179,800, yang terdiri daripada semua jaminan yang dinyatakan itu dengan tambahan penawaran dalam bentuk rebat tunai sebanyak RM5,000, subsidi petrol sebanyak RM3,000, pelindungan dan insuran percuma selama setahun bernilai RM4,500.
Model ini menjadi model ke-10 Chery di sini serta penambahan terbaru dan paling tinggi bagi barisan produk Chery di Malaysia ketika ini, menyertai model sedia ada seperti Tiggo 8 Pro, Tiggo 8 PHEV, Tiggo 8, Tiggo 7 Pro, Tiggo 7 PHEV dan juga yang paling kecil, Tiggo Cross.
Chery Tiggo 9 untuk pasaran tempatan dilengkapi enjin 2.0 liter turbo TGDi dengan sistem pacuan empat roda sebagai penawaran sulungnya. Versi dengan rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Chery Super Hybrid (CSH) berkemungkinan akan diperkenalkan dalam penawarannya yang akan datang selepas ini.
Unit janaan kuasa yang ada ini menghasilkan sebanyak 256 PS dan 390 Nm tork, sama seperti yang ditawarkan untuk model Tiggo 8 Pro sebelum ini. Ini digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Tidak seperti Tiggo 8 Pro yang hanya memacu roda hadapan, Tiggo 9 ini diberikan sistem AWD yang datang dengan tujuh mod iaitu Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Snow dan Off-Road. Kadar penggunaan minyaknya pula ialah 8.3L per 100 km. Untuk pecutan 0-100 km/j, SUV ini memerlukan masa 9.3 saat. Kapasit tangki minyaknya ialah 65 liter.
Chery Tiggo 9 mempunyai ukuran dimensi 4,810 mm panjang dan 1,925 mm lebar, menjadikannya 88 mm lebih panjang dan 65 mm lebih lebar berbanding Tiggo 8 Pro. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,800 mm, atau 90 mm lebih panjang berbanding Tiggo 8 Pro.

Bagaimanapun, berbanding “saudaranya” Jaecoo J8, Chery Tiggo 9 adalah 10 mm lebih pendek, 5 mm kurang lebar dan jarak rodanya juga adalah 20 mm lebih dekat. Untuk ruangan but untuk barangan, kapasiti yang tersedia ialah 448 liter dengan semua kerusi dinaikkan, dan boleh dilaras untuk mencapai kapasiti maksimum 2,065 liter dengan kerusi penumpang belakang direbahkan.
Dari segi rekaan, Chery Tiggo 9 lengkap dengan lampu LED penuh untuk bahagian depan dan belakang, termasuk lampu DRL dan juga lampu kabusnya. Lampu isyarat pula jenis LED sequential light untuk menyuntik lebih elemen mewah untuk SUV segmen D ini. Selain itu ada juga landasan bumbung untuk membawa barangan tambahan untuk keperluan gaya hidup aktif.
Antara kelengkapan yang ditawarkan bagi Chery Tiggo 9 termasuklah rim aloi 20-inci “rekaan mewah”, skrin sentuh untuk infotainmen bersaiz 15.6-inci yang dikuasakan oleh cip Snapdragon 8155 keluaran Qualcomm, head-up display serta paparan kluster meter pemandu bersaiz 10.25-inci.
Sementara itu untuk tempat duduk pemandu pula, ciri larasan kuasa 10-hala disediakan, begitu juga dengan fungsi pengalir udara dan pengurut pada tempat duduk hadapan, pengalir udara pada tempat duduk baris kedua, serta sistem bunyi Sony dengan 14-pembesar suara termasuk di dalam perehat kepala tempat duduk hadapan. Tidak ketinggalan, ciri lampu ambient dengan 64-warna.
Bagi aspek keselamatan pula, Chery Tiggo 9 ini lengkap dengan 10-beg udara, sensor parkir depan belakang, paparan keliling 540-darjah HD, Isofix, ABS, EBD dan lain-lain. Ia juga dilengkapi dengan sistem ADAS 2.5 dengan 23 fungsi keseluruhan, yang antara lain terdiri antaranya daripada ciri kawalan lampu tinggi pintar, amaran perlanggaran depan (FCW), kawalan melayar adaptif (ACC), bantuan menukar lorong (LCA), pengesan titik buta (BSD), amaran perlanggaran belakang (RCTA) dan lain-lain.
Pilihan warna badan yang diberikan ada dua — Matte Grey dan Carbon Black.
