Porsche tidak akan hasilkan 911 EV, kurangkan varian antara model, pertimbang perkongsian platform – CEO

CEO Porsche Michael Leiters mengesahkan bahawa barisan kereta sport paling ikoniknya iaitu Porsche 911 tidak akan ‘diusik’ untuk dijelmakan sebagai model yang dijana oleh kuasa elektrik penuh (EV). Perkara ini disebut oleh Leiters ketika pembentangan pelan Strategy 2035 yang dibuat ketika mesyuarat agung tahunan jenama kereta sport Jerman tersebut.

“Untuk 911, satu unit rangkaian kuasa hibrid prestasi yang dibangunkan khas akan menjadi batu blok binaan asas, sebagai penawar kehidupan untuk masa depan. Ini kerana tidak akan ada 911 elektrik sepenuhnya,” kata Leiters. Beliau turut mengesahkan bahawa Porsche akan terus melabur untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman, serta unit rangkaian kuasa hibrid dan elektrik sepenuhnya.

Porsche turut menyatakan bahawa portfolio produknya kini “telah menjadi terlalu kompleks, walaupun dibandingkan dengan pesaing.” Jadi syarikat itu akan mula mengurangkan variasi model, contohnya versi Cross Turismo dan Sport Turismo dalam barisan model Taycan yang kini telah dihentikan penawarannya di pasaran Amerika Syarikat.

Bagi barisan model EV penuh pula, Leiters menerangkan bahawa Porsche akan terus fokus untuk membangunkan model-model EV tersendiri “yang membezakan Porsche berbanding jenama lain,” dengan mengambil Cayenne Electric sebagai contoh.

Porsche tidak akan hasilkan 911 EV, kurangkan varian antara model, pertimbang perkongsian platform – CEO

“Saya yakin bahawa Cayenne Electric boleh memainkan peranan penting untuk Porsche dalam era elektrik, dan membantu membina warisan BEV yang sebenar,” jelas Leiters.

Leiters menyebut Cayenne Electric berbanding Taycan telah menguatkan lagi spekulasi berkenaan ada laporan sebelum ini menyebut Taycan akan disatukan dengan Panamera bagi menghasilkan sebuah model dengan pilihan enjin pembakaran dalaman, plug-in hybrid dan juga EV penuh bagi mengurangkan kos penghasilannya.

Khabar tersebut juga dikukuhkan lagi apabila Porsche sendiri menyatakan bahawa ia sedang “menyelidik di mana kemungkinan terdapat lebih sinergi antara model.”

“Kami sedang menilai bagaimana kami boleh menggunakan platform dan penyelesaian industri dengan lebih fleksibel. Ini secara jelas merangkumi penggunaan pintar sistem modular Kumpulan. Dengan Cayenne dan Macan, kami telah membuktikan bahawa kami telah menguasai resipi kejayaan ini,” kata Leiters.