Proton dan Sunway Tiny Toys perkenal model skala 1/64 Saga MC3 & eMas 5, RM78, sudah mula dijual

Proton hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa ia dan juga jenama mainan tempatan berkolobrasi untuk menghasilkan model skala 1/64 untuk Saga MC3 dan juga eMas 5. Ini merupakan model skala 1/64 kedua dan ketiga yang menerima lesen rasmi dari Proton selepas kerjasama antara jenama automotif nasional itu bersama syarikat mainan Amerika Syarikat, Mattel menghasilkan Proton Saga generasi pertama dalam versi skala 1/64 Hotwheels sebelum ini.

Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, koleksi miniatur yang diumumkan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Cerita Malaysia Kita, yang diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi meraikan kisah, jenama dan pengalaman harian rakyat Malaysia menerusi koleksi bercirikan tempatan.

Proton hanya mendedahkan rupa bagi Saga MC3 1/64 Sunway Tiny Toys berkenaan, di mana ia menampilkan rupa yang realistik dengan lampu hadapan dan belakang jenis lensa jernih, penutup bonet hadapan yang boleh dibuka bagi mendedahkan miniatur enjin 1.5 liter empat-silinder i-GT di dalamnya, serta kedua-dua pintu hadapan yang boleh dibuka bagi menunjukkan dengan jelas bahagian kabin Saga kecil itu.

Malah ia juga didatangkan dengan rim yang direka seiras dengan Saga MC3 Premium sebenar. Dua warna ditawarkan untuk Saga MC3 1/64 Sunway Tiny Toys iaitu Ruby Red dan juga Marine Blue. Ia dijual pada harga RM78 seunit serta datang dengan kotak kertas seperti model-model Tomica dari Jepun.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkannya Saga dengan warna Ruby Red di outlet Sunway Tiny Toys di Sunway Lagoon serta melalui penjual semula rasmi terpilih. Manakala bagi Saga dengan warna Marine Blue pula, ia akan didedahkan secara eksklusif di acara The Model Car Show yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, pada 27 dan 28 Jun ini.

Menurut Proton kedua-dua model ini dipilih untuk kolobrasi kali ini adalah kerana Saga MC3 merupakan model penyambung legasi model paling dikenali di Malaysia serta mencatatkan rekod jualan baharu, manakala eMas 5 pula kerana ia merupakan EV mampu milik pertama dan paling laris di Malaysia.

“Proton Saga sudah sekian lama mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia, manakala Proton eMas 5 pula melambangkan hala tuju baharu yang cukup mengujakan buat Proton serta landskap mobiliti negara,” kata Naib CEO Proton, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.

“Dengan menjadikan kedua-dua kenderaan ini sebagai model skala untuk koleksi, kami berharap dapat membuka satu lagi ruang untuk rakyat Malaysia mendekati Proton. Ia bukan sekadar kereta miniatur, sebaliknya mewakili kenangan, aspirasi dan kemajuan yang membentuk perjalanan kami sebagai jenama automotif nasional,” tambahnya.

Tags: ,