Voge SR450X dilancarkan di Malaysia – enjin dua silinder 398 cc 42 hp, suspensi boleh laras, RM30k

Selain model adventure/touring DS800X Rally dan DS625X, satu lagi model daripada Voge yang baru dilancarkan untuk pasaran Malaysia adalah skuter SR450X. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu hitam, biru dan hijau, pada harga RM29,888 tidak termasuk insurans.

Sementara kebanyakan pesaingnya menggunakan enjin satu silinder, SR450X pula digerakkan oleh enjin dua silinder 398 cc suntikan bahan api penyejukan cecair, yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 41.9 hp pada 8,000 rpm dan tork 44 Nm pada 5,750 rpm. Ia digabungkan bersama transmisi automatik CVT serta sistem pacuan tali sawat.

Selain penampilan yang menampakkan ia adalah sebuah skuter adventure, SR450X juga dipasang dengan kelengkapan bersesuaian termasuk rim spoked (tayar tanpa tiub) 17 inci di hadapan, 14 inci di belakang, tayar pelbagai guna Maxxis, besi pelindung badan serta pemijak kaki tambahan yang boleh digunakan apabila penunggang berdiri.

Selain daripada itu, dalam keadaan standard juga ia datang dengan pelindung tangan, tapak kotak barangan belakang aluminium serta lampu kabus. Bahagian elektronik tidak kekurangan dengan ia dilengkapi penghadang angin larasan elektronik, sistem kunci pintar, kamera hadapan dan belakang, kawalan cengkaman serta skrin TFT.

Sistem suspensi terdiri daripada fork USD boleh laras di hadapan dan dua penyerap hentak boleh laras daripada Kayaba di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera tunggal bersama angkup J.Juan di hadapan dan cakera tunggal dengan angkup Nissin di belakang. Tangki bahan api berkapasiti 18 liter.

Tags: