Proton Saga MC3 2026 — yang bagus dan yang tidak?

Proton Saga memang telah menjadi sebuah model penting di Malaysia sejak lebih 40 tahun lalu. Kini, dalam penampilan terbarunya yang dikenali sebagai Proton Saga MC3 2026, adalah ia masih memberi erti dan nilai yang sama kepada pelanggannya yang datang dari generasi yang lain hari ini?

Dilancarkan secara rasmi pada November tahun lalu, Proton Saga MC3 2026 telah mendominasi carta jualan sejak dari awal lagi. Ini menunjukkan bahawa ia masih mempunyai tempat yang istimewa bagi pengguna hari ini — baik dari segi harga dan nilai yang diberikan. Tambahan pulam Saga kini telah menerima pelbagai pembaharuan dan peningkatan yang sangat penting.

Selain platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang diperkemas, enjin yang melengkapinya kini juga ditukar kepada unit BHE15 1.5 liter empat-silinder serba baru, dalam versi BHE15PFI — NA dengan untikan bahan api yang lebih cekap. Dengan janaan 120 PS pada 6,100 rpm dan tork 150 Nm antara 4,000 dan 5,000 rpm, ia menawarkan 25 PS dan 30 Nm lebih tinggi berbanding model sebelumnya.

Selain itu, Saga MC3 juga diberikan peningkatan ketara untuk aspek-aspek lain. Terdapat bahagian hadapan baru, lengkap dengan gril besar dan bonet bari serta lampu hadapan LED penuh, manakala bahagian belakang pula menampilkan lampu belakang LED yang disambungkan oleh palang tengah dengan tulisan Proton, memberikan imej dan rupa yang seiring dengan sedan S70 yang lebih besar.

Di bahagian dalam, kabinnya juga diberikan sedikit rombakan, dengan papan pemuka baru yang menampilkan rekaan mendatar moden dan skrin digital berkembar. Panel skrin yang dimaksudkan itu terdiri daripada unit tujuh-inci untuk panel instrumen dan unit sembilan-inci untuk infotainmen. Selain itu, fungsi Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto juga ada, menjadikan model ini kereta segmen-A pertama yang menawarkan ciri tersebut.

Apa yang baik dan apa yang tidak tentang Proton Saga MC3 2026 ini? Kami huraikan dalam video ini. Selamat menonton.

Proton Saga MC3 2026 Premium

Tags: