LRT3 Laluan Shah Alam: Tambah 5 stesen baharu, perumahan mampu milik dibina di sekitar stesen

Prasarana Malaysia Berhad selaku syarikat konsesi bagi perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam bakal menambah lima lagi stesen LRT bagi laluan tersebut iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik dengan pembinaan dijangka bermula hujung tahun ini. Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, selepas majlis pelancaran LRT3 Ahad lalu, laporan Berita Harian.

Sebelum ini, cadangan pembinaan lima stesen berkenaan pernah dibatalkan ekoran pengurangan kos projek LRT3 sebanyak 47% iaitu RM16.63 bilion berbanding kos asal sebanyak RM31.65 bilion termasuklah mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api enam-koc kepada 22 set kereta api tiga-koc.

Walau bagaimana pun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan menerusi Belanjawan 2024 bahawa pembinaan lima stesen berkenaan akan diteruskan. Ia memperuntukkan kos tambahan sebanyak RM5.3 bilion untuk meneruskan pembinaan berkenaan.

Selain itu, Loke turut berkata, beberapa kawasan sekitar stesen LRT3 Laluan Shah Alam sudah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD). Antara kawasan berpotensi untuk dilaksanakan projek berkenaan meliputi Stesen Seri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia.

Menurut beliau, kawasan terbabit memiliki kriteria ditetapkan antaranya memiliki kawasan luas untuk dibangunkan projek perumahan rakyat dan pusat komersial.

“Kalau dulu park and ride sahaja, tanah itu tidak dioptimumkan dan katakan kalau untuk 600 kenderaan kebiasaannya mereka yang menggunakan LRT ini dia akan letak kenderaan dari pagi sampai malam. Jadi walaupun ada 600 petak ia hanya akan memanfaatkan 600 itu sahaja kerana dia guna sepanjang hari jadi kita kena lihat dan dasar kerajaan adalah untuk kita optimumkan penggunaan tanah dan konsep TOD ini,” katanya.

Mengulas lanjut projek berkenaan, Loke menegaskan bahawa pembangunan di kawasan berkenaan akan membabitkan kerjasama syarikat swasta. Melalui kerjasama itu, beliau berkata ia diharapkan dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan memastikan rakyat dapat menikmati limpahan pembangunan apabila kemudahan itu siap kelak.

Perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 20 stesen baharu termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Prasarana menyasarkan 67,000 perjalanan penumpang sehari pada tahun pertama operasi, sebelum meningkat kepada 117,708 perjalanan sehari dalam tempoh lima tahun.