Budi Diesel — pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga hanya sekali dan sehala; begini perinciannya

Kementerian Kewangan (MoF) mendedahkan pada Jumaat lalu (26 Jun 2026) akan membenarkan kelayakan individu untuk Budi Madani Diesel (Budi Diesel) dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat, untuk membolehkan mereka menikmati diesel bersubsidi yang akan dijual dengan harga RM2.10 seliter di seluruh negara mulai esok, 1 Julai 2026.

Bagaimana untuk melakukan ini? Laman web Budi Madani telah dikemas kini dengan maklumat terperinci bagi yang mereka yang ingin berbuat demikian. Berikut adalah beberapa soalan yang mungkin berman di fikiran anda:

Di manakah saya boleh memohon untuk memindahkan kelayakan Budi Diesel?

Anda perlu melayari laman web rasmi Budi Madani untuk mengemukakan permohonan pemindahan tersebut. Menurut kementerian, program pemindahan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan langkah yang pertama sekali memerlukan anda mengemukakan permohonan sebelum 12 Julai 2026. Pemohon boleh mengetahui sama ada permintaan pemindahan diluluskan bermula 15 Julai 2026.

Fasa seterusnya memerlukan permohonan dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 haribulan setiap bulan, dengan keputusan akan diberikan pada hari pertama setiap bulan selepasnya. Contohnya, jika anda memohon sebelum 27 Ogos, anda hanya akan tahu sama ada permohonan pemindahan anda diluluskan atau tidak pada 1 September. Sekiranya anda mengemukakan permohonan selepas 27 haribulan setiap bulan, seperti pada 29 Ogos, permintaan tersebut akan diproses untuk bulan Oktober dan bukannya September.

Apa yang perlu saya kemukakan untuk permohonan ini?

Pertama sekali, anda perlulah menjadi penerima yang layak untuk Budi Diesel: bermakna anda seorang rakyat Malaysia dengan kad pengenalan (MyKad) dan lesen memandu (LMM) yang sah, di samping mempunyai kenderaan diesel milik persendirian yang berdaftar atas nama anda dengan cukai jalan (LKM) yang sah.

Semasa memohon, anda perlu mengemukakan maklumat MyKad, nombor pengenalan cukai (TIN), nombor telefon peribadi dan status kelayakan Budi Madani bagi penerima Budi Diesel yang layak serta orang yang akan menerima pemindahan kelayakan tersebut.

Kepada siapa saya boleh pindahkan kelayakan Budi Diesel?

Menurut Kementerian Kewangan, anda boleh memindahkan kelayakan Budi Diesel anda kepada seorang ahli keluarga terdekat yang merupakan warganegara Malaysia dengan MyKad yang sah DAN sudah layak untuk Budi Madani RON 95 (Budi95). Ahli keluarga dalam kes ini merujuk kepada pasangan anda, ibu bapa, salah seorang anak anda atau adik-beradik.

Anda tidak akan dapat memindahkan kelayakan tersebut kepada sepupu, bapa saudara, mak cik, ibu mertua, bapa mertua, menantu perempuan, menantu lelaki, datuk, nenek atau cucu. Ia hanya untuk ahli keluarga terdekat sahaja.

Berapa kali saya boleh memindahkan kelayakan Budi Diesel?

Anda hanya dibenarkan memindahkan kelayakan Budi Diesel anda sekali sahaja. Apabila diluluskan, ia adalah pemindahan sehala yang tidak boleh dibatalkan dan anda tidak boleh memindahkannya kembali kepada anda. Penerima pemindahan itu juga tidak boleh meminta kelayakan dipindahkan kepada orang lain. Oleh itu, adalah penting untuk memutuskan dengan betul kepada siapa anda hendak dipindahkan kelayakan tersebut.

Terdapat situasi tertentu di mana kelayakan boleh dipindahkan semula, tetapi ini memerlukan makluman terlebih dahulu. Ini termasuk situasi yang melibatkan kematian penerima pemindahan tersebut, atau perpisahan yang sah antara pasangan, iaitu perceraian yang diiktiraf secara rasmi. Selain kedua-dua senario ini, ia adalah pemindahan sehala sahaja.

Bagaimana kuota berfungsi sekiranya saya telah memindahkan kelayakan Budi Diesel?

Budi Diesel — pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga hanya sekali dan sehala; begini perinciannya

Pada masa ini, mereka yang layak untuk Budi95 berhak mendapat kuota 200 liter sebulan. Jika seseorang juga layak untuk Budi Diesel, kuota masih 200 liter untuk petrol RON 95 dan diesel bersubsidi, walaupun pemilik trak pikap dan jip (istilah yang digunakan untuk SUV) boleh memohon tambahan 100 liter untuk jumlah keseluruhan 300 liter sebulan.

Menurut kementerian, pemindahan kelayakan Budi Diesel hanya melibatkan keupayaan untuk membeli diesel bersubsidi pada kuota yang sama dengan pemegang status Budi Diesel yang asal.

Sebagai contoh, katakan ayah anda layak untuk kedua-dua Budi95 dan Budi Diesel, dia berhak mendapat 200 liter sebulan untuk kedua-dua bahan api itu, dan bukannya bagi setiap satunya. Apabila dia memindahkan kelayakannya kepada anda, anda akan mendapat akses kepada Budi Diesel dan 200 liter sebulan. Sekiranya ayah anda telah diluluskan untuk tambahan 100 liter itu, maka anda akan mendapat akses kepada 300 liter sebulan.

Apa yang berlaku kepada ayah anda? Dia kehilangan akses kepada Budi Diesel tetapi masih mendapat Budi95, yang secara bersamaan disertakan dengan kuota bulanan 200 liter.

Ini tidak mengambil kira berapa banyak kenderaan diesel yang dimiliki oleh keluarga anda, kerana Budi Diesel terikat dengan individu, dan bukannya kenderaan. Oleh itu, walaupun pemegang Budi Diesel asal membeli kenderaan diesel lain selepas pemindahan kelayakan dibuat, dia tidak lagi akan menikmati Budi Diesel untuk pembelian baru itu — kerana kelayakan subsidi adalah untuk individu, yang telah dia pindahkan kepada seorang penerima layak yang lain.

Di samping itu, penerima kelayakan Budi Diesel juga tidak boleh meminta peningkatan kuota (dengan mengandaikan Budi Diesel asal terikat pada kuota 200 liter), dan tidak boleh dipindahkan kelayakannya oleh ahli keluarga yang lain. Sekali lagi ditekankan, pemindahan ini adalah urusan sekali sahaja, dan sehala.

Saya telah menerima pemindahan kelayakan Budi Diesel oleh ahli keluarga terdekat, tetapi saya telah membeli kenderaan diesel saya sendiri. Apa yang akan berlaku kemudian?

Budi Diesel — pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga hanya sekali dan sehala; begini perinciannya

Dalam senario ini, anda akan layak untuk menerima Budi Diesel sendiri dan pemindahan kelayakan sedia ada akan terbatal secara automatik. Walaupun tidak dinyatakan secara jelas oleh Kementerian Kewangan, ini juga bermakna pemegang status Budi Diesel asal akan mendapatkan semula kelayakannya kerana setiap orang memenuhi kriteria.

Apa yang berlaku jika pemegang Budi Diesel asal bertukar daripada kenderaan diesel kepada petrol?

Sekiranya pemegang Budi Diesel asal tidak lagi memiliki kenderaan diesel, dia tidak lagi memenuhi kriteria dan tidak akan mendapat Budi Diesel. Memandangkan salah seorang daripada mereka terikat dengan yang lain, orang yang menerima pemindahan kelayakan juga tidak lagi mempunyai akses kepada Budi Diesel.

Secara ringkasnya, penerima Budi Diesel asal mesti memenuhi kriteria untuk diesel bersubsidi, salah satunya ialah mempunyai kenderaan diesel milik persendirian yang didaftarkan atas nama mereka, dan dengan cukai jalan yang sah. Sebaik sahaja mereka tidak lagi memenuhi syarat kelayakan ini, penerima pemindahahan kelayakannya juga tidak lagi akan menikmati Budi Diesel.

Kesimpulan ringkas pemindahan kelayakan Budi Diesel

Jika anda layak untuk menerima Budi Diesel, anda hanya boleh memindahkan kelayakan anda kepada seorang ahli keluarga terdekat (pasangan, ibu bapa, salah seorang anak anda atau adik-beradik). Pemindahan ini hanya boleh dilakukan sekali sahaja, dan penerima akan mempunyai akses kepada apa jua kuota (200 atau 300 liter) yang anda layak, manakala pemegang asal melepaskan akses Budi Diesel dan kembali kepada Budi95 dan 200 liter sebulan.

Penerima pemindahan kelayakan pula pada asasnya terikat dengan pemegang status Budi Diesel yang asal. Bermakna jika pemegang asal kelayakan tersebut gagal memenuhi kriteria untuk Budi Diesel — misalnya, dia tidak lagi memiliki kenderaan diesel — penerima pemindahan kelayakan itu juga tidak lagi akan mendapat Budi Diesel. Bagaimanapun, jika penerima pemindahan kelayakan itu membeli kenderaan diesel sendiri, dia akan mendapat akses Budi Diesel mereka sendiri.