Untuk minggu bertarikh 1 hingga 8 Julai 2026, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit RON97 diturunkan sebanyak 10 sen seliter kepada RM4 seliter.
Begitu juga harga runcit RON95 tanpa subsidi juga diturunkan sebanyak 10 sen seliter kepada RM3.37 seliter, manakala harga bersubsidi di bawah program Budi95 masih dikekalkan pada RM1.99 seliter. Untuk Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), ia masih ditetapkan pada harga RM2.05 seliter.
Untuk harga runcit diesel tanpa subsidi pula, ia diturunkan sebanyak 10 sen seliter kepada RM3.97 seliter. Manakala harga runcit diesel di bawah program subsidi Budi Diesel yang bermula esok ditetapkan pada RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara bagi rakyat Malaysia yang berkelayakan. Manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula ditetapkan pada RM2.15 seliter.
Semua harga runcit yang dinyatakan ini berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini (1 Julai) sehingga jam 11.59 malam pada 8 Julai 2026. Ini merupakan edisi ke-28 bagi format harga minyak mingguan untuk tahun 2026, dan yang ke-391 secara keseluruhan sejak format ini diperkenalkan pada tahun 2019.

