Selepas pendaftaran minat bagi Jaecoo J5 EV dibuka awal bulan lalu, Omoda | Jaecoo Malaysia telah mengumumkan bahawa SUV elektrik ini akan tampil buat pertama kalinya di khalayak umum menerusi penganjuran acara Oh My Meow Expo 2026, yang akan berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley dari 9 hingga 12 Julai ini.
Mesti ramai pelik kenapa SUV EV ini akan dipamerkan di acara ‘penghimpunan’ kucing berkenaan? Untuk pengetahuan anda, J5 EV ini dijangka hadir dengan pensijilan TÜV yang sama seperti J5 berkuasa petrol yang dilancarkan pada bulan Mac dan dipasarkan sebagai SUV segmen-B yang bersifat “mesra haiwan peliharaan”. Sebagai makluman, J5 dipasang secara tempatan (CKD) dan ditawarkan dalam satu-satunya varian pacuan dua-roda (2WD) dengan harga RM108,000 atas jalan tanpa insurans.
Jadi, sejauh manakah perbezaan rupa J5 EV berbanding versi petrolnya? Tidak banyak jika dilihat dari bahagian belakang. Namun perbezaan paling ketara terdapat di bahagian hadapan, di mana EV ini menampilkan reka bentuk muka hadapan yang lebih ringkas tanpa gril tradisional. Sebaliknya, hanya terdapat satu panel dengan permukaan lut sinar yang membolehkan tulisan “Jaecoo” dilihat di antara lampu utama.
Bahagian apron bawah juga berbeza sepenuhnya, dengan panel badan sama warna yang kelihatan lebih berfungsi dalam mengalirkan udara ke bahagian tirai udara sisi, manakala bahagian tengahnya menampilkan jeriji berbentuk pin serta permukaan berlubang. Namun spesifikasi yang lebih tepat untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan.
Di pasaran Indonesia dan Thailand, J5 EV dilengkapi dengan bateri 58.9-kWh yang memberikannya jarak gerak hingga 461-470 km mengikut standard NEDC (sekitar 400 km jika ikut WLTP). Kuasa yang dijana dari motor elektrik hadapan pada kadar 211 PS (208 hp atau 155 kW) dan tork 288 Nm. Manakala bagi J5 versi elektrik yang diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder sebaris pula mampu memberikan kuasa hingga 147 PS (145 hp atau 108 kW) dan 210 Nm, dipadankan dengan CVT yang memacu roda hadapan.
Versi elektrik pula boleh menyokong pengecas pantas DC dengan kapasiti puncak hingga 130 kW, di mana bateri boleh dicas dari 30-80% dalam masa 28 minit. Ia juga ditampilkan dengan sistem vehicle-to-load (V2L) dengan kuasa hingga 3.3 kW untuk menjana peranti elektrikal berkuasa ringan.
Berukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm, J5 EV ini lebih kurang sama saiz dengan Honda HR-V, Proton X50 dan Chery Tiggo Cross. J5 di Thailand (yang dipanggil Jaecoo 5 EV), menawarkan varian tunggal Max+ dengan harga 699,000 baht (sekitar RM90k). Manakala nama yang sama juga dipakai di Indonesia, yang menerima varian Standard dan Premium dijual pada harga masing-masing 279.9 juta rupiah (RM64k) dan 309.9 juta rupiah (RM70k).
Jaecoo J5 EV di Bangkok International Motor Show 2025

