MOT tangguh pelaksanaan penuh peranti pengehad kelajuan (SLD) untuk kenderaan perdagangan

Kementerian Pengangkutan (MoT) telah mengumumkan bahawa penguatkuasaan penuh terhadap keperluan pemasangan dan pematuhan peranti pengehad kelajuan (Speed Limitation Device atau SLD) bagi kenderaan perdagangan akan ditangguhkan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, MoT berkata langkah ini bertujuan memberi lebih banyak masa kepada pihak industri untuk melengkapkan proses pematuhan dengan lebih teratur. Ia turut menjelaskan bahawa keputusan penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas daripada pihak industri, khususnya pengendali kenderaan perdagangan yang mempunyai jumlah kenderaan besar dan masih dalam proses menyusun jadual pemasangan semula (retrofit) SLD.

Kementerian turut mengakui bahawa proses pemasangan semula memerlukan perancangan teknikal, penyelarasan jadual kenderaan, pengesahan fungsi serta koordinasi operasi bagi memastikan pematuhan dapat dicapai tanpa mengganggu perkhidmatan sedia ada dan rantaian bekalan logistik negara.

Walaupun begitu, penangguhan ini tidak bermakna pihak industri dikecualikan daripada keperluan pematuhan tersebut.“Semua syarikat pengendali, pemilik kenderaan perdagangan, pengendali logistik, pengendali bas dan pihak berkaitan mesti terus mengambil langkah segera bagi memastikan kenderaan mereka dilengkapi dengan SLD mengikut keperluan serta spesifikasi teknikal yang telah ditetapkan,” kata kementerian dalam kenyataannya.

MOT tangguh pelaksanaan penuh peranti pengehad kelajuan (SLD) untuk kenderaan perdagangan

Pada masa ini, terdapat 25 syarikat yang telah dilantik untuk menjalankan pemasangan semula (retrofit) SLD, dengan butiran setiap syarikat boleh didapati menerusi portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sepanjang tempoh penangguhan ini, JPJ akan terus menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan sementara yang bersesuaian, termasuk mengeluarkan Notis Temu Siasat (114) kepada pemilik kenderaan atau pengendali yang didapati tidak mematuhi keperluan tersebut.

Pemain industri digesa supaya menggunakan tempoh penangguhan ini untuk mempercepatkan pemasangan SLD pada kenderaan mereka serta mengemas kini maklumat atau dokumentasi berkaitan bagi memastikan pematuhan. Kementerian turut mengingatkan pihak industri bahawa menerusi Belanjawan 2026, kerajaan telah memperkenalkan kemudahan Elaun Modal Dipercepatkan (Accelerated Capital Allowance) bagi membantu syarikat menampung kos pemasangan SLD, dengan bantuan tersebut tersedia sehingga 31 Disember 2026.