Honda HR-V facelift – varian RS e:HEV, V dipertingkat dengan kamera 360 darjah, harga tidak berubah

Honda Malaysia menambah satu kelengkapan baru pada dua varian terpilih Honda HR-V facelift, iaitu kamera pandangan 360 darjah. Ciri tersebut kini ditawarkan pada varian petrol 1.5L V Turbo dan hibrid 1.5L e RS tanpa sebarang kenaikan harga.

Dengan penambahan ini, harga jualan kedua-dua varian kekal tidak berubah, iaitu RM137,900 bagi HR-V 1.5L V Turbo dan RM143,900 untuk HR-V e RS, tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Bersempena promosi bulan Jun, Honda turut menawarkan rebat menarik kepada pelanggan. Varian V menerima potongan harga sebanyak RM10,000, manakala varian e RS yang juga ada dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 ditawarkan dengan rebat sehingga RM13,000.

Honda HR-V facelift – varian RS e:HEV, V dipertingkat dengan kamera 360 darjah, harga tidak berubah

Selain penambahan sistem kamera tersebut, tiada perubahan dilakukan dari aspek mekanikal atau prestasi. Varian 1.5L V Turbo masih menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 181 PS pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork antara 1,700 hingga 4,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik jenis CVT.

Bagi varian e RS, sistem hibrid yang digunakan juga kekal sama. Ia menggabungkan motor elektrik yang menghasilkan 131 PS dan 253 Nm tork bersama enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC NA kitaran Atkinson yang menjana 107 PS dan 131 Nm. Dalam operasi harian, enjin berfungsi terutamanya sebagai penjana tenaga untuk sistem hibrid, namun turut berupaya memacu roda hadapan ketika pemanduan pada kelajuan lebih tinggi.

Dari segi reka bentuk luaran, HR-V versi facelift mengekalkan identiti asal generasi ketiga model tersebut dengan beberapa penambahbaikan halus. Antaranya ialah gril hadapan yang lebih lebar, rekaan bampar hadapan baru serta lampu utama LED projektor matriks yang dilengkapi fungsi lampu belok aktif untuk varian RS.

Honda HR-V facelift – varian RS e:HEV, V dipertingkat dengan kamera 360 darjah, harga tidak berubah

Di bahagian belakang, HR-V menerima rekaan lampu LED yang lebih nipis dan moden. Kesemua varian kini menggunakan rim aloi 18 inci dengan rekaan yang sama, dipadankan dengan tayar bersaiz 225/50.

Ruang kabin turut menerima beberapa penambahbaikan praktikal. Konsol tengah direka semula dengan susun atur yang lebih kemas serta menyediakan ruang simpanan tambahan di bawah panel kawalan penyaman udara.

Sistem infotainmen lapan inci kini menggunakan reka bentuk terapung dan menyokong sambungan tanpa wayar Apple CarPlay serta Android Auto. Bagi varian V dan RS, kelengkapan standard turut merangkumi pintu but berkuasa dengan fungsi bebas tangan serta cermin sisi boleh lipat automatik.

Dari aspek keselamatan, kesemua varian HR-V dilengkapi pakej Honda Sensing sebagai ciri standard. Sistem bantuan pemandu ini merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan, Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Sistem Mitigasi Keluar Jalan, Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Low Speed Follow, Lampu Tinggi Automatik serta Notifikasi Pergerakan Kenderaan Hadapan.

Honda HR-V ditawarkan dalam lima pilihan warna badan. Dua warna yang diperkenalkan bersama model facelift ialah Phoenix Orange Pearl dan Crystal Black Pearl. Tiga lagi pilihan sedia ada ialah Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl dan Meteoroid Gray Metallic. Warna Phoenix Orange Pearl dan Platinum White Pearl ditawarkan sebagai pilihan premium dengan tambahan harga RM800.