Perodua memperkenalkan konsep Aruz Space pada acara Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026), menampilkan satu interpretasi baru bagi model Aruz yang lebih menumpukan kepada fungsi pengangkutan barangan berbanding penumpang.
Jika Perodua Aruz standard ditawarkan sebagai SUV tujuh tempat duduk, Aruz Space tampil dengan konfigurasi yang berbeza apabila semua tempat duduk belakang dibuang. Ruang dari B-pillar hingga ke bahagian belakang kenderaan diubah sepenuhnya menjadi ruang simpanan untuk membawa pelbagai jenis barangan dan kargo.
Bagi memudahkan proses memuatkan serta mengeluarkan barangan, kenderaan konsep ini dilengkapi dengan sebuah laci gelongsor saiz besar yang menggunakan rel penuh. Ciri tersebut membolehkan pengguna mengakses barangan yang diletakkan jauh di bahagian hadapan ruang simpanan dengan lebih mudah.
Menariknya, ruang kargo Aruz Space tidak direka seperti van panel konvensional. Sebaliknya, bahagian dalaman masih mengekalkan kebanyakan kemasan yang biasa ditemui pada model penumpang. Ini memberikan suasana yang lebih premium dan selesa meskipun kenderaan tersebut difokuskan kepada kegunaan komersial.
Bahagian sisi yang sebelum ini menempatkan barisan ketiga tempat duduk diubah kepada tiga ruang simpanan kecil pada setiap sisi untuk menyimpan barangan bersaiz kecil. Ruang dalaman turut diserlahkan dengan kemasan berwarna tembaga atau jingga metalik, selain jalur lampu LED kuning yang dipasang pada lapisan bumbung serta pemisah ruang kargo.
Perodua juga mengekalkan sistem pendingin hawa asal Aruz, termasuk corong udara dan kawalan kipas. Kehadiran ciri ini berpotensi menjadikan Aruz Space sesuai untuk mengangkut barangan yang memerlukan kawalan suhu tertentu.
Bahagian hadapan kabin menerima sentuhan reka bentuk yang sama seperti ruang kargo, dengan kemasan berwarna tembaga atau jingga metalik digunakan pada papan pemuka, konsol tengah, panel pintu dan jejari stereng. Tempat duduk pula dipadankan dengan balutan dua tona yang menampilkan elemen warna kontras bagi mewujudkan suasana lebih moden.
Dari sudut luaran, Aruz Space dilengkapi penutup aerodinamik pada rim, manakala bahagian sisi diberikan pemijak. Sebuah kotak simpanan atas bumbung turut dipasang bagi menambah kapasiti penyimpanan. Selain perubahan tersebut, reka bentuk badan dan lampu kelihatan sama seperti model produksi sedia ada.
Model pameran ini juga dipercayai menggunakan warna Vintage Brown yang diperkenalkan pada Ogos 2025. Di pasaran Malaysia, Perodua Aruz masih ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5X pada harga RM72,900 dan 1.5AV pada harga RM77,900.















