Proton baru sahaja melancarkan varian baharu bagi EV eMas 7 semalam, iaitu varian dikenali sebagai eMas 7 Premium Plus yang menampilkan bateri lebih besar sama seperti kembarnya Geely Galaxy E5/EX5 yang telah pun menerima kemaskini berkenaan jauh lebih awal. Namun nampaknya E5/EX5 bakal menerima kemaskini sekali lagi di China, di mana kali ini ia akan menampilkan perubahan bukan sahaja dari segi rupa, malah dari segi konfigurasi unit rangkaian kuasa.
Ini dia Geely Galaxy E5 facelift 2027 – ia bukan didedahkan oleh Geely, tetapi seperti biasa ia disiarkan oleh laman web rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China, di mana setiap model baharu yang akan dilancarkan di negara berkenaan akan difailkan dahulu di laman ini.
Perubahan pertama yang kita dapat lihat adalah pada mukanya kerana model facelift ini diberikan bampar hadapan dengan lebih banyak perapi plastik hitam, terutamanya pada bahagian tirai udara kedua-dua sisi, dan ia bercantum menerusi jalur nipis merentangi bampar berkenaan.
Bahagian sisi dan juga belakang nampaknya masih sama tanpa sebarang perubahan, di mana Geely cuma menawarkan pilihan rim aloi baharu dengan saiz 18- dan 19-inci. Apa yang menarik, versi facelift ini menampilkan panjang 4,636 mm, lebar 1,920 mm atau 21 mm lebih panjang dan 19 mm lebih lebar berbanding model sedia ada. Namun jarak rodanya masih sama iaitu 2,750 mm.
Perubahan lebih besar ditampilkan menerusi konfigurasi unit rangkaian kuasa di mana Galaxy E5 facelift ini diberikan motor elektrik tunggal berkuasa 333 PS (245 kW) berbanding versi sedia ada yang hanya dibekalkan sehingga 218 PS (160 kW). Jadi boleh dijangka Galaxy E5 facelift ini akan mencatatkan pecutan 0-100 km/j lebih pantas dari 6.9 saat yang dicatatkan pada model yang dijual sekarang.
Satu lagi perkara yang berbeza kita boleh lihat pada versi facelift ini kedudukan port pengecas yang tidak lagi berada di bahagian hadapan sebelah kanan. Menurut laporan CarNewsChina, port pengecas bagi Galaxy E5 facelift ini mungkin telah di alih ke bahagian belakang sebelah kiri.
Perubahan posisi port pengecas berkenaan berkemungkinan besar adalah kerana motor elektrik tidak lagi berada di hadapan, tetapi telah dialih ke gandar belakang untuk memacu roda belakang, sama seperti saingan sekelasnya iaitu BYD Atto 3 Evo.
Dengan munculnya Geely Galaxy E5 facelift ini di laman MIIT, ia mungkin akan dilancarkan di China pada suku ke-3 tahun ini. Kebiasaannya model eksport Geely EX5 turut akan menerima kemaskini sama selepas itu, mungkin lewat tahun ini atau awal tahun depan. Jadi mungkin kita akan melihat Proton eMas 7 facelift tiba ke pasaran Malaysia pada suku ke-3 atau ke-4 tahun depan?

