Proton terus menarik perhatian pengunjung di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 apabila mempamerkan versi pemasangan tempatan (CKD) bagi model elektrik kompaknya, e.MAS 5. Walaupun pada pandangan pertama model tersebut kelihatan sama seperti versi sedia ada, terdapat satu petunjuk penting yang mengesahkan status pemasangan tempatan itu.
Melalui pelekat maklumat pengeluar yang terletak pada bahagian tepi pintu pemandu, logo Geely yang digunakan pada model import sepenuhnya (CBU) telah digantikan dengan logo Proton. Perubahan kecil itu menandakan permulaan era baru bagi model EV berkenaan yang bakal dipasang di Malaysia.
Seperti yang diumumkan Proton sebelum ini, pengeluaran e.MAS 5 CKD akan bermula bulan ini di kilang EV khas syarikat itu di Tanjung Malim. Model pemasangan tempatan tersebut dijangka menggantikan stok import sepenuhnya dalam masa terdekat.
Berbeza dengan Proton e.MAS 7 yang menerima penyesuaian harga selepas beralih kepada pemasangan tempatan, harga e.MAS 5 kekal tidak berubah. Varian Prime masih ditawarkan pada harga RM56,800 manakala varian Premium berharga RM69,800, kedua-duanya tidak termasuk insurans dan masih menikmati rebat pelancaran sebanyak RM3,000.
Dari segi reka bentuk, Proton tidak melakukan sebarang perubahan pada bahagian luaran mahupun kabin. Model ini masih mengekalkan penampilan kompak yang menjadi identitinya, bersama susun atur dalaman moden sebelum ini. Turut dikekalkan ialah paparan instrumen digital bersaiz 8.8 inci dan skrin infotainmen sentuh 14.6 inci.
Satu-satunya perubahan yang diperkenalkan adalah pada ruang kargo belakang berkapasiti 375 liter yang kini dilengkapi penutup but jenis keras (hard tonneau cover) sebagai kelengkapan standard. Menariknya, aksesori tersebut turut akan diberikan kepada pemilik sedia ada tanpa sebarang kos tambahan.
Pada masa yang sama, Proton menafikan spekulasi sebelum ini yang mendakwa model tersebut akan menerima cermin sisi lipat automatik dan pengelap cermin belakang.
Bahagian mekanikal juga kekal sama seperti versi yang diperkenalkan sebelum ini. Varian Prime menggunakan motor elektrik tunggal pacuan hadapan yang menghasilkan 79 PS atau 58 kW bersama 130 Nm tork. Kuasa disimpan dalam bateri CATL LFP berkapasiti 30.12 kWh yang membolehkan jarak perjalanan sehingga 225 kilometer mengikut piawaian WLTP.
Bagi varian Premium, output ditingkatkan kepada 116 PS atau 85 kW dan 150 Nm tork. Ia turut menerima bateri lebih besar, berkapasiti 40.16 kWh, membolehkan jarak perjalanan sehingga 325 kilometer bagi sekali cas penuh.
Buat masa ini, e.MAS 5 masih belum menerima bateri baru 47.14 kWh yang baru diperkenalkan untuk Geely Xingyuan di China. Pek bateri tersebut mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 480 kilometer mengikut kitaran CLTC. Jika ditukar kepada piawaian WLTP, angka sebenar dijangka berada sekitar 390 kilometer.
Walaupun masih terlalu awal untuk menjangkakan kemas kini tersebut tiba ke Malaysia, terdapat kemungkinan Proton akan memperkenalkannya melalui varian baru seperti Premium Plus pada masa hadapan, sama seperti strategi yang digunakan pada e.MAS 7.
Dari aspek pengecasan, kedua-dua varian mengekalkan keupayaan pengecasan pantas DC masing-masing pada 53 kW untuk Prime dan 71 kW bagi Premium. Dengan pengecas DC yang sesuai, tahap bateri boleh ditingkatkan daripada 30 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 21 minit. Kedua-duanya turut menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW, dengan masa pengecasan penuh antara 4.3 hingga 5.9 jam bergantung kepada varian.
Dari segi kelengkapan, varian Prime hadir dengan lampu hadapan halogen, rim keluli 15 inci dengan penutup roda, sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, pendingin udara manual, pelarasan tempat duduk manual serta kemasan tempat duduk kulit tiruan. Sistem infotainmen turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Selain itu, model asas ini dilengkapi corong pendingin hawa belakang, ruang simpanan bawah tempat duduk belakang berkapasiti 20 liter, empat pembesar suara, kamera undur serta ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 70 liter.
Ciri keselamatan pula merangkumi enam beg udara, sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran belakang serta amaran pembukaan pintu.
Bagi varian Premium, pelanggan akan menerima lampu utama LED bersama lampu siang LED, bumbung hitam dua tona, rim aloi 16 inci, stereng berbalut kulit tiruan, soket USB-A tambahan di belakang, kamera 360 darjah, enam pembesar suara serta pintu but berkuasa elektrik.
Varian tertinggi ini turut dilengkapi pakej bantuan pemanduan yang lebih lengkap termasuk sistem brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, amaran keluar lorong serta pengecaman papan tanda trafik.


























