
Bagi Perodua, hanya ada satu penampilan sulung sempena Pameran Mobiliti Antarabangsa KL (KLIMS) 2026, yang bermula hari ini hingga 21 Jun nanti. Syarikat itu mempertontonkan sebuah model konsep yang dikenali dengan nama C2.
C2 pada namanya merujuk kepada “Chapter 2”, dan rekaan tersebut memberi bayangan kepada rekaan sedan segmen B, yang turut merupakan lanjutan atau bab seterusnya bagi perjalanan kenderaan elektrik oleh Perodua, selepas Perodua QV-E yang dilancarkan pada Disember 2025.
Perodua menyatakan bahawa C2 “mewakili arah penggayaan yang sama sekali berbeza, menggabungkan teknologi terkini dan dicipta oleh pereka muda dan berbakat kami, yang mewakili visi mereka tentang bagaimana bentuknya masa depan EV”. Rekaan tersebut diinspirasikan oleh generasi Alpha dan Beta, jelas Perodua.
“C2 merupakan sebahagian daripada jalan cerita EV kami yang berterusan. Ia mengembangkan lagi naratif mobiliti tempatan untuk dunia serta mencerminkan usaha kami untuk menambah baik masa depan pengalaman mobiliti untuk pelanggan,” jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
“C2 akan menjadi asas bagi kami untuk membangunkan EV masa depan, dan juga kami berharap dapat berinteraksi dengan pengunjung yang datang ke ruang pameran kami tentang pandangan dan komen mereka bagi memastikan produk masa depan Perodua akan melangkaui jangkaan,” tambahnya.
Rekaan dan pembangunan Perodua C2 disandarkan kepada bantuan AI seperti navigasi masa nyata, lokasi stesen pengecas, kemas kini trafik, ciri anti-kecurian yang dipertingkatkan serta bantuan meletak kenderaan.
“Kami telah menyepadukan super app P-Circle dalam prototaip ini supaya pelanggan boleh mengakses segala kemudahan – daripada aplikasi e-dompet yang selamat hinggalah kepada keutamaan penghantaran alat ganti tulen – C2 mewakili masa depan dalam kesepaduan mobiliti,” jelas beliau. Super app P-Circle dan ekosistemnya dilancarkan pada Oktober 2025, bertujuan untuk masa depan dan ekosistem berkaitan EV Perodua. Menjelang masa itu, pertukaran bateri mungkin sudah menjadi kenyataan.
Perodua mengatakan bahawa C2 mewakili fasa baru bagi lenggok reka bentuknya yang berbeza daripada penampilan eMO sebelumnya yang telah pun diterjemahkan dengan baik dalam rekaan QV-E. Mungkinkah rekaan ini memberi cadangan kepada model EV untuk Bezza pada masa hadapan?

























