Honda Vario 125 yang sebelum ini dilancarkan pada tahun 2023 kini diberikan naik taraf dengan pengenalan model baru tahun 2026. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu magenta, hijau dan hitam, pada harga RM7,268 tidak termasuk insurans.
Vario 125 2026 tampil dengan panel badan serba baru, menyamai Vario 125 Street yang dilancarkan April lalu, tetapi dengan bahagian ‘kepala’ yang lebih lengkap. Semua lampu merupakan unit LED, dengan bahagian belakang menampilkan unit yang lebih kompak.
Penggerak skuter ini masih sama, iaitu enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-Fi, sejukan cecair berkapasiti 124.9 cc, dipadankan bersama transmisi automatik CVT untuk menghasilkan kuasa 11.7 hp pada 8,500 rpm dan tork 11.7 Nm pada 5,000 rpm.
Rim menggunakan saiz 14 inci di hadapan dan belakang, masing-masing dibalut tayar 90/80 dan 100/80, manakala suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Hanya roda hadapan dilengkapi brek cakera, sementara bahagian belakang masih menggunakan brek dram.
Tiada ABS pada skuter ini, tetapi ia diganti dengan Combi Brake System (CBS) serta brek parkir di bahagian tuil sebelah kiri. Turut tersedia adalah soket pengecas USB-C, sistem kunci pintar serta ruang simpanan 18 liter di bawah tempat duduk. Tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter.

