Millennium Iconic Rally (MIR) – Rally of Melaka 2026 bakal berlangsung pada hujung minggu ini bermula 25 hingga 28 Jun 2026 di kawasan Felda Tun Ghafar Machap dan Menggong, Alor Gajah.
Rali yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Bermotor Pengembaraan Millennium (MMAC) ini akan menampilkan tiga Special Stage (SS) permukaan gravel di sekitar kawasan Menggong, Felda Tun Ghaffar dan juga Felda Machap, yang dinamakan sempena tokoh-tokoh kepimpinan negeri Melaka, iaitu SS Tok Rauf (2.41 km), SS Menggong (7.92 km) dan juga SS Datuk Sem (13.97 km).
Ketiga-tiga SS ini akan digunakan secara berulang bagi membentuk 10 SS, di mana pelumba perlu meredah laluan sukar dalam pelbagai keadaan permukaan jalan, selekoh teknikal serta laluan lurus berkelajuan tinggi sepanjang 107 km secara keseluruhan.
Sebanyak 22 kereta telah mengesahkan penyertaan, dan tumpuan masih diberikan kepada pertarungan tiga jaguh rali negara iaitu Karamjit Singh dengan jentera Proton Gen2 4WD Turbo, Saladin Mazlan yang akan mengemudi jentera spaceframe Mini Deus 1.8 Turbo 4WD serta Haji Sutan Mustaffa yang masih setia dengan Subaru Impreza WRX STi GDB.
Beberapa pelumba lain turut akan bertanding dalam kategori 4WD, antaranya Faidzil Alang yang memandu Mitsubishi Lancer Evolution dan juga Khairul Nizam Yaacob yang sekali lagi mengemudi jentera unik Proton Iriz 4WD Turbo. Malah untuk Rally of Melaka kali ini akan menyaksikan anak kepada Saladin Mazlan iaitu Ibrahim Saladin turut akan tampil dengan jentera 4WD dengan memandu Subaru Impreza WRX, dan sebuah lagi WRX yang dipandu Syakirin Razaki bakal bergandingan dengan juara MRC 2017, Roduwan Rashid yang kali ini hanya bertindak sebagai pemandu arah.
Dalam saingan 2WD, walaupun jentera yang digunakan kurang berkuasa, penonton bakal disajikan dengan aksi pelumba-pelumba yang biasanya memandu dengan gaya yang agresif, antaranya Dinie Nazmie dan Mohd Hasrin Tahir di mana kedua-duanya memandu Proton Satria Neo, serta Hashrul Jamaludin, Ikhsan Husni dan juga Zairi Zakaria – ketiga-tiganya memandu Proton Staria.
Selain dari aksi-aksi jentera rali, pengunjung turut boleh menghadiri Karnival Rally of Melaka 2026 yang berlangsung sepanjang program perlumbaan ini, dan ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Antara pengisian utama karnival tersebut termasuk jualan dan pameran gerai-gerai usahawan tempatan, pameran automotif dan sukan permotoran, Majlis Bacaan Yassin Perdana, Majlis Berselawat & Bual Bicara Santai bersama tokoh jemputan Ustaz Dr.Nur Muhammad Hadi bin Zahalan (Akademi Al-Bayan), Persembahan artis dan Konsert Rally of Melaka menampilkan kumpulan Samudera serta artis-artis jemputan lain, aktiviti kanak-kanak dan keluarga, cabutan bertuah serta pelbagai pertandingan menarik yang lain.
Karnival Rally of Melaka ini akan bermula esok, 25 Jun 2026 dengan acara pembukaan majlis bacaan Yasin perdana, diikuti dengan pembukaan karnival pada hari Jumaat. Acara perasmian pula akan dibuat pada Sabtu jam 5 petang oleh YB Datuk Ngwe Hee Sem, ADUN Machap Jaya merangkap Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka.
Rali akan bermula sebaik sahaja acara perasmian tamat dengan Super Special Stage yang terletak bersebelahan Service Park di Padang Felda Tun Ghafar Machap (Bukit Bulat) yang mudah untuk di tonton oleh pengunjung. SS 2 akan bermula pada pagi Ahad pukul lapan pagi sehingga tamat SS 10 sehingga sebelah petang.

