Suzuki eVitara dalam teaser, bakal tiba di Malaysia?

Suzuki Cars Malaysia memberi bayangan bahawa pelancaran model elektrik pertamanya untuk pasaran tempatan semakin hampir menerusi satu hantaran di media sosial. Teaser yang dikongsi memaparkan rekaan lampu hadapan menyerupai Suzuki eVitara, sekaligus menguatkan spekulasi bahawa SUV elektrik tersebut bakal memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pada Ogos tahun lalu, Suzuki Cars Malaysia pernah memberi petunjuk mengenai ketibaan eVitara ke pasaran tempatan. Model ini merupakan kembar kepada Toyota Urban Cruiser EV yang dibangunkan menerusi kerjasama antara Suzuki dan Toyota.

Suzuki eVitara diperkenalkan secara global pada November 2024. Ia mempunyai ukuran panjang 4,275 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,635 mm, manakala jarak roda mencecah 2,700 mm. Jarak dari tanah setinggi 180 mm pula menjadikannya sesuai bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah juga perjalanan di pelbagai jenis permukaan jalan.

Di pasaran antarabangsa, eVitara ditawarkan dengan beberapa pilihan rangkaian kuasa. Varian asas menggunakan motor elektrik pacuan roda hadapan yang menghasilkan 144 PS dan 189 Nm bersama bateri berkapasiti 49 kWh. Pilihan kedua turut menggunakan pacuan roda hadapan tetapi dengan kuasa lebih tinggi iaitu 174 PS dan 189 Nm yang dipadankan dengan bateri 61 kWh.

Bagi varian tertinggi, ia dilengkapi dua motor elektrik dengan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan 184 PS dan 300 Nm, juga menggunakan bateri 61 kWh. Bateri yang lebih besar itu mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 500 km mengikut spesifikasi pasaran tertentu.

Di Thailand, eVitara dipasarkan dalam konfigurasi AWD dengan dua motor elektrik. Bateri 61 kWh yang digunakan memberikan jarak perjalanan sehingga 455 km mengikut kitaran NEDC, bersamaan kira-kira 387 km berdasarkan standard WLTP. Model ini juga mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.

Pada bahagian casis, eVitara menggunakan sistem suspensi MacPherson di bahagian hadapan dan multi-link di belakang. Tugas membrek dikendalikan oleh cakera berliang pada kedua-dua gandar, manakala stereng menggunakan tetapan rack-and-pinion. SUV ini dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibalut tayar berukuran 225/55R18.

Untuk kelengkapan luaran, eVitara hadir dengan lampu utama LED automatik bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED, sistem pelarasan aras lampu automatik dan lampu kabus hadapan LED. Cermin sisi pula dilengkapi lampu isyarat LED, fungsi lipatan elektrik serta sistem pemanas.

Ruang kabin menampilkan paparan digital moden yang menggabungkan skrin sesentuh infotainmen 10.1 inci dan panel instrumen digital 10.25 inci. Sistem ini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, selain sambungan Bluetooth. Turut disediakan ialah soket pengecas 12V, USB-A dan USB-C, serta pengecas tanpa wayar.

Aspek keselamatan turut diberi perhatian menerusi pelbagai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). Berdasarkan spesifikasi pasaran Thailand, eVitara dilengkapi Adaptive Cruise Control, bantuan kekal lorong, pencegahan keluar lorong, sistem brek selepas pelanggaran, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, lampu tinggi adaptif, kamera pandangan sekeliling dan sensor parkir.

Selain itu, SUV elektrik ini turut menerima kawalan kestabilan elektronik, ABS, EBD, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni bukit, sistem amaran bunyi untuk pejalan kaki, peringatan tali pinggang keledar hadapan dan belakang, dua cagak pemasangan ISOFIX serta tujuh beg udara yang merangkumi beg udara hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu.

Di Indonesia, Suzuki eVitara dilancarkan dengan harga bermula sekitar 750 juta rupiah, bersamaan kira-kira RM173,000. Dengan ketibaan model ini yang semakin hampir ke pasaran Malaysia, persoalan yang timbul kini adalah berapakah harga yang bakal ditawarkan oleh Suzuki bagi SUV elektrik pertamanya di negara ini.

Tags: