Suzuki eVitara dilancar di Malaysia – SUV EV kembar Toyota Urban Cruiser, 174 PS, WLTP 426 km, RM188k

Naza Eastern Motors secara rasmi melancarkan Suzuki eVitara di Malaysia, seterusnya membuka tempahan bagi SUV elektrik kompak tersebut. Menurut syarikat itu, model berkenaan akan ditawarkan dalam jumlah unit yang terhad untuk pasaran tempatan.

Suzuki eVitara dijual pada harga RM188,000 atas jalan tanpa insurans, menjadikannya RM10,000 lebih murah berbanding Toyota Urban Cruiser yang diperkenalkan di Malaysia pada April lalu pada harga RM198,000. Kedua-dua model ini diimport sepenuhnya (CBU) dari India dan dipasang di kilang yang sama.

Pertama kali diperkenalkan pada November 2024, Suzuki eVitara dibangunkan menggunakan platform Heartect-e. SUV elektrik ini berukuran 4,275 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,635 mm tinggi dengan jarak roda 2,700 mm. Ia turut menawarkan kelegaan tanah setinggi 180 mm, manakala berat keseluruhan kenderaan ialah 1,891 kg.

Suzuki eVitara dilancar di Malaysia – SUV EV kembar Toyota Urban Cruiser, 174 PS, WLTP 426 km, RM188k

Dari segi saiz, eVitara boleh dianggap sebagai SUV kompak yang hampir menyamai dimensi Mazda CX-3, namun dengan badan yang lebih tinggi. Jarak antara tayarnya juga lebih kecil berbanding kebanyakan SUV segmen B enjin pembakaran dalaman seperti Proton X50 dan Honda HR-V.

Walaupun berkongsi platform dan bentuk badan yang hampir sama dengan Toyota Urban Cruiser, Suzuki eVitara tampil dengan identiti tersendiri menerusi rekaan bahagian hadapan yang berbeza. Ia menampilkan gril berbentuk heksagon bersama elemen lampu matriks tiga titik yang menjadi identiti model ini.

Lampu utama menggunakan projektor LED, manakala lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus turut menggunakan teknologi LED. SUV ini dipadankan dengan rim aloi dua-tona bersaiz 18 inci yang dibalut tayar bersaiz 225/55.

Suzuki eVitara dilancar di Malaysia – SUV EV kembar Toyota Urban Cruiser, 174 PS, WLTP 426 km, RM188k

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki eVitara hanya ditawarkan dalam satu varian pacuan roda hadapan yang menggunakan sebuah motor elektrik. Motor tersebut menghasilkan 174 PS dan 193 Nm tork, menerima bekalan kuasa daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 61.1 kWh yang dibekalkan oleh BYD dan dihasilkan di India.

Dengan sekali cas penuh, eVitara mampu bergerak sehingga 426 kilometer mengikut kitaran WLTP. Bagi pengecasan, ia menyokong pengecas AC sehingga 7 kW dan pengecas pantas DC sehingga 67 kW. Menggunakan pengecas DC, tahap bateri boleh ditingkatkan daripada 15 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 45 minit, manakala pengecas AC 7 kW memerlukan sekitar sembilan jam untuk mengecas penuh bateri. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 7.4 saat dengan kelajuan maksimum 150 km/j.

Ruang kabin pula menampilkan susun atur yang hampir sama seperti Toyota Urban Cruiser. Bahagian dalaman menggunakan kombinasi warna dua-tona bersama kemasan hitam berkilat dan perak gelap. Antara ciri utama termasuk stereng dua cabang, konsol tengah terapung dengan suis gear elektronik serta dua paparan digital yang terdiri daripada panel instrumen bersaiz 10.25 inci dan skrin infotainmen 10.1 inci.

Kelengkapan standard yang ditawarkan termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, bumbung suria dengan pelindung manual serta kemasan tempat duduk gabungan kulit sintetik berliang, balutan fabrik melange dan kulit sintetik berwarna perang. Berbeza dengan Toyota Urban Cruiser yang menggunakan sistem audio JBL, Suzuki eVitara dipadankan dengan sistem audio Infinity.

Dari aspek keselamatan, Suzuki eVitara dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu moden seperti kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal dalam lorong, sistem pencegahan keluar lorong, brek selepas pelanggaran, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, lampu tinggi adaptif, kamera pandangan keliling serta sensor parkir. SUV ini turut dilengkapi tujuh beg udara yang merangkumi beg udara hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu.

Suzuki eVitara dilancar di Malaysia – SUV EV kembar Toyota Urban Cruiser, 174 PS, WLTP 426 km, RM188k

Lima pilihan warna luaran ditawarkan iaitu Celestial Blue Pearl Metallic, Bluish Black Pearl serta tiga pilihan dua-tona yang terdiri daripada Land Breeze Green Pearl Metallic, Splendid Silver Pearl Metallic dan Grandeur Grey Pearl Metallic, masing-masing digandingkan dengan bumbung berwarna Bluish Black Pearl.

Sebagai jaminan kepada pemilik, Suzuki eVitara didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan, waranti lima tahun atau 100,000 km untuk komponen EV serta waranti bateri selama lapan tahun atau 160,000 km. Selain itu, Naza Eastern Motors turut menawarkan pengecasan EV percuma selama lima tahun di pengedar terpilih kepada 10 pembeli pertama, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Tags: