Chery Smart Auto Park Fasa 1 di Lembah Beringin siap – mula operasi Q1 tahun depan, 2,000 peluang kerja

Chery Corporate Malaysia mencatat satu lagi perkembangan penting dalam pembinaan Chery Smart Auto Industrial Park di Lembah Beringin apabila berjaya menyiapkan struktur utama Fasa 1 fasiliti tersebut menerusi majlis topping-out yang berlangsung minggu ini. Kilang berkenaan dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun hadapan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, perkembangan ini membuktikan projek berkenaan kini berada di landasan yang tepat untuk memulakan operasi seperti yang dirancang.

Sementara itu, Pengarah Kanan Strategi Produk dan Jualan Armada Chery Corporate Malaysia, Michael Chew berkata, majlis topping-out tersebut merupakan satu pencapaian penting buat Chery di Malaysia. Ia bukan sahaja mencerminkan kemajuan projek yang sedang dibangunkan, malah menunjukkan keyakinan syarikat terhadap potensi pasaran Malaysia sebagai hab automotif serantau.

Chery Smart Auto Park Fasa 1 di Lembah Beringin siap – mula operasi Q1 tahun depan, 2,000 peluang kerja

Amirudin turut menyatakan kehadiran Chery sebagai antara syarikat utama di Lembah Beringin mampu memberi nafas baharu kepada pembangunan kawasan itu. Beliau berkata, projek tersebut dijangka merangsang pertumbuhan rantaian bekalan baru, memendekkan masa operasi perniagaan serta perjalanan logistik, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Selangor.

Dibangunkan di atas kawasan seluas 200 ekar dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.2 bilion, Chery Smart Auto Industrial Park bakal menjadi antara hab pengeluaran utama syarikat itu di rantau ini. Pada peringkat awal, kilang tersebut dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 100,000 kenderaan setahun, sebelum ditingkatkan kepada 300,000 unit setahun apabila operasi diperluaskan pada masa hadapan.

Fasa pertama projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan. Jumlah tersebut dijangka meningkat kepada sekitar 5,000 pekerjaan selepas fasa seterusnya siap pada tahun 2028 dan 2029. Selain itu, operasi syarikat pembekal dan vendor yang bakal beroperasi di taman perindustrian berkenaan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menjadikan keseluruhannya mampu mencecah sehingga 8,000 peluang pekerjaan.

Chery Smart Auto Park Fasa 1 di Lembah Beringin siap – mula operasi Q1 tahun depan, 2,000 peluang kerja

Menurut Amirudin, pelaburan Chery juga dijangka menarik lebih banyak syarikat berkaitan industri automotif untuk melabur di kawasan tersebut. Langkah itu akan membantu mengukuhkan rantaian bekalan tempatan sekali gus menyokong agenda pembangunan perindustrian Selangor.

Untuk rekod, majlis pecah tanah bagi pembangunan Chery Smart Auto Industrial Park telah diadakan pada Februari tahun lalu. Projek ini dibangunkan di Beringin High-Tech Auto Valley di Hulu Selangor, sebuah kawasan pembangunan industri automotif yang diterajui oleh Legenda Beringin Holding.

Keseluruhan projek dijangka dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dengan kos keseluruhan RM2.2 bilion. Selain kilang pemasangan kenderaan, baki kawasan pembangunan akan digunakan bagi menempatkan kemudahan berkaitan rantaian bekalan automotif, pusat latihan vokasional, penyelidikan inovasi automotif serta pembangunan teknologi baharu bagi menyokong pertumbuhan industri automotif negara.