BMW 218 Gran Coupe M Sport dilancar di Malaysia – penyerap adaptif, harga lebih tinggi RM20k, RM193k

Selain M2 CS dan M3 Touring Competition M xDrive, BMW Malaysia turut melancarkan BMW 218 Gran Coupé M Sport pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran Malaysia. Model ini ditawarkan pada harga RM192,800 bersama jaminan standard selama dua tahun, atau RM204,800 dengan pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) yang merangkumi jaminan dan servis selama empat tahun. Semua harga yang dinyatakan adalah tidak termasuk insurans.

Sebagai perbandingan, 218 Gran Coupé Sport sekarang ditawarkan pada harga promosi bermula RM173,800 dengan jaminan dua tahun, atau RM185,800 bersama pakej BSRI empat tahun. Ini bermakna varian M Sport yang baru dilancarkan ini berharga RM20,000 lebih tinggi daripada varian Sport, namun sedikit lebih murah berbanding harga pelancarannya tahun lalu.

Jika dibandingkan pula dengan harga asal BMW 218 Gran Coupé Sport ketika diperkenalkan pada Jun 2025, model M Sport CKD baru ini juga jauh lebih kompetitif. Varian Sport sebelum ini dijual pada harga RM241,000 atas jalan tanpa insurans bersama pakej BSRI lima tahun, menjadikan model M Sport baru lebih murah sebanyak RM36,200.

Untuk enjin, tiada perubahan dilakukan dan ia terus menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter turbo yang menghasilkan 156 PS dan 230 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik klac berkembar Steptronic tujuh kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

BMW 218 Gran Coupe M Sport dilancar di Malaysia – penyerap adaptif, harga lebih tinggi RM20k, RM193k

Sistem suspensi turut menerima peningkatan dengan penggunaan Adaptive M Suspension, melengkapi tetapan MacPherson di hadapan dan three-link di belakang. Walaubagaimanapun, sistem ini tidak menawarkan mod pelarasan yang boleh dipilih pemandu, sebaliknya menggunakan penyerap hentak pasif dengan teknologi kawalan frekuensi yang melaras secara automatik mengikut keadaan permukaan jalan.

Penampilan luaran dipertingkatkan menerusi pakej M Sport yang merangkumi bampar hadapan dan belakang lebih agresif, skirting tepi, diffuser belakang, kemasan Shadowline berkilat serta rim aloi Style 975 M.

Di dalam kabin, BMW membekalkan stereng kulit M pelbagai fungsi, kemasan bumbung M Anthracite, head-up display serta sistem audio Harman Kardon sebagai kelengkapan standard.

Model ini turut mengekalkan BMW Curved Display yang menggabungkan panel instrumen digital bersaiz 10.25 inci bersama skrin infotainmen 10.7 inci. Sistem ini menggunakan BMW Operating System 9 dengan QuickSelect, manakala kedua-dua tempat duduk hadapan jenis Sport didatangkan dengan pelarasan kuasa elektrik serta fungsi memori.

Dari aspek keselamatan, BMW 218 Gran Coupé M Sport dilengkapi pakej Driving Assistant Plus yang merangkumi Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go serta Steering and Lane Control Assistant. Turut disertakan ialah Driving Assistant yang menawarkan amaran pertukaran lorong dengan bantuan stereng, brek kecemasan automatik ketika mengundur serta sistem brek kecemasan dengan amaran pelanggaran hadapan dan pengesanan pejalan kaki.

Ciri bantuan pemanduan lain termasuk amaran keluar kenderaan (Safe Exit), amaran trafik melintas di belakang dengan fungsi brek, paparan had kelajuan bersama fungsi ramalan pemanduan, penunjuk larangan memotong serta Manual Speed Limit Assist.

Bagi bantuan parkir, pakej Park Assistant Plus didatangkan dengan Park Assist Professional yang mampu mengesan garisan dan penghadang jalan, Active Park Distance Control dengan pengesanan pejalan kaki ketika mengundur, Surround View, Front Panorama View, Remote 3D View, BMW Drive Recorder serta Anti-theft Recorder.

Untuk pasaran Malaysia, BMW 218 Gran Coupé M Sport ditawarkan dalam empat pilihan warna luaran iaitu Alpine White, Black Sapphire, Brooklyn Grey dan Portimao Blue. Bahagian dalaman menggunakan kemasan kulit Veganza berliang warna hitam sebagai standard, manakala kemasan Veganza Coral Red ditawarkan sebagai pilihan eksklusif bagi warna luaran Black Sapphire.

Tags: