Hyundai secara rasmi mendedahkan rupa bagi sedan segmen-C Elantra generasi ke-lapan ketika acara Busan Mobility Show (BIMOS) 2026 yang berlangsung di Korea Selatan bermula hari ini. Seperti yang anda boleh lihat, model yang menggantikan versi generasi sedia ada yang telah pun berada di pasaran sejak 2020 ini menampilkan perubahan rupa sangat drastik dan agresif.
Elantra (atau dikenali sebagai Avante di pasaran negara asalnya) 2027 ini menerima bahasa rekaan terbaharu Hyundai yang digelar sebagai “Art of Steel” sama seperti hatchback i20 generasi baharu yang didedahkan di Brazil baru-baru ini. Rekaan ini nampak futuristik menerusi lampu-lampu hadapan dan belakang LED yang hanya tampil seperti jalur, tetapi dalam masa yang sama ia menampilkan panel-panel badan yang direka bersegi.
Sedan ini juga nampak sangat gagah dengan semua ruang roda direka ‘berotot’, bahagian belakang menerapkan rekaan seperti fastback bersama spoiler ‘ekor itik’ yang tajam dan terbina sekali dengan penutup but belakang, serta panel diffuser di bawah bampar belakang menampilkan rupa yang sangat agresif seolah-olah ia masih dalam peringkat konsep.
Hyundai menyatakan bahawa Elantra generasi baharu ini turut dibina lebih besar dari model generasi sebelumnya, di mana ia 55 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, serta menampilkan jarak roda 30 mm lebih jauh.
Pada bahagian dalam, Elantra 2027 ini menerima papan pemuka mendatar dan seakan membentuk huruf-n yang panjang. Pemandu menerima paparan instrumen digital yang nipis bersaiz 9.9-inci diletak ‘bertenggek’ di atas papan pemuka tanpa perumah, serta roda stereng rata di bawah dengan empat-dot pada modul beg-udara yang bermaksud huruf-H berdasarkan kod-morse.
Ia turut menerima skrin gergasi bersaiz 17-inci di bahagian tengah untuk sistem infotainmen, namun ia masih lagi mempunyai suis-suis kawalan fizikal untuk kawalan pendingin hawa, sistem audio dan sebagainya terletak di bawah skrin tersebut.
Konsol tengah pula menampilkan rekaan terpisah antara pemandu dan penumpang hadapan, di mana untuk pemandu ia hadir dengan perehat tangan berbentuk tiub serta diberikan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar khas.
Hyundai mengumumkan bahawa Elantra 2027 ini menerima sistem infotainmen Pleos Connect yang menampilkan fungsi Gleo AI, iaitu ejen AI yang dibangunkan bagi membolehkan pemandu mengawal pelbagai fungsi dalam kenderaan dan juga mencari maklumat hanya dengan arahan suara.
Hyundai Elantra 2027 pasaran Korea Selatan ini ditawarkan dalam dua jenis unit rangkaian kuasa iaitu petrol penuh dan hibrid. Bagi versi petrol penuh ia menerima enjin 2.0 liter NA berkuasa 147 hp, atau 25 hp lebih berkuasa dari model sebelum ini.
Manakala bagi model hibrid, ia menggandingkan enjin 1.6 liter dan juga dua motor elektrik yang akan menawarkan kuasa sehingga 155 PS. Ia juga akan menerima teknologi regenerative braking baharu, dan juga fungsi Stay Mode iaitu fungsi yang membolehkan sistem pendingin hawa serta infotainmen berfungsi walaupun enjin tidak dihidupkan, seperti EV sebenar.
Walaupun sukar untuk dilihat di atas jalan raya Malaysia, Elantra generasi ke-tujuh sebenarnya telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada penghujung 2020, ketika itu jenama ini masih diuruskan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM). Sekarang ia dikendalikan sendiri oleh syarikat prinsipal dari Korea, iaitu Hyundai Motor Malaysia (HMY) – adakah Elantra generasi baharu ini kembali ke pasaran tempatan?




