Great Wall Motor (GWM) memperkenalkan Haval H10 di China sebagai SUV baru yang kini menjadi model paling tinggi dalam barisan produk jenama Haval. Terletak di atas Haval H9, model ini hadir dengan rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) serta ditawarkan dalam konfigurasi lima atau enam tempat duduk, dengan versi enam tempat duduk menyediakan susun atur tiga baris.
Menurut laporan media China, Haval H10 merupakan model pertama di bawah jenama Haval yang dibangunkan menggunakan platform GWM One, yang mana turut digunakan pada Wey V9X yang dilancarkan di China Mei lalu. Berbeza dengan Haval H9 yang menggunakan casis jenis body-on-frame, H10 dibina menggunakan struktur unibody yang lebih moden.
Walaupun menggunakan binaan unibody, Haval H10 masih dipasarkan sebagai SUV yang mempunyai keupayaan offroad. Rekaan luarannya turut menyerlahkan karakter lasak menerusi bentuk badan berkotak dengan garisan yang tegap, lengkuk roda yang menonjol serta bampar hadapan dan belakang yang direka lebih tahan lasak.
Antara elemen menarik lain termasuk lampu hadapan dua tingkat dalam perumah berbentuk segi empat, tayar simpanan yang dipasang di pintu belakang serta garis tingkap yang dinaikkan berhampiran tiang C bagi memberikan penampilan lebih gagah.
Dari aspek saiz, Haval H10 merupakan sebuah SUV bersaiz besar. Varian lima tempat duduk mempunyai ukuran 5,138 mm panjang, 2,050 mm lebar dan 1,970 mm tinggi dengan jarak roda sepanjang 3,000 mm. Dimensi ini menjadikannya lebih besar berbanding Toyota Land Cruiser 300. Sementara itu, varian enam tempat duduk menjadi lebih besar apabila mencatat panjang keseluruhan 5,299 mm.
Bahagian dalam menampilkan konsep minimalis dengan kebanyakan fungsi kenderaan dikendalikan menerusi skrin sesentuh infotainmen bersaiz besar yang ditempatkan di tengah papan pemuka. Walaupun begitu, GWM masih mengekalkan beberapa suis fizikal pada konsol tengah untuk kawalan asas seperti sistem penyaman udara dan mod pemanduan. Di hadapan pemandu pula tersedia stereng berbentuk bulat bersama panel instrumen digital.
Dari aspek prestasi, Haval H10 menggunakan sistem PHEV Hi4 milik GWM yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan transmisi hibrid khas empat kelajuan (Dedicated Hybrid Transmission atau DHT).
Spesifikasi motor elektrik masih belum diumumkan secara rasmi, namun syarikat mendakwa bateri berkapasiti 42.8 kWh mampu memberikan jarak pemanduan elektrik penuh sehingga 180 kilometer, dipercayai mengikut standard ujian CLTC di China.
Selain varian standard, laporan dari China turut menyatakan GWM sedang merancang untuk memperkenalkan versi yang lebih berkuasa dengan padanan enjin 2.0 liter, namun maklumat lanjut mengenainya masih belum didedahkan.


