Suzuki Jimny AllGrip Plus, Jimny Rhino Plus, Fronx Malaysia diberi waranti lima tahun tanpa had batuan

Naza Eastern Motors mengumumkan beberapa model Suzuki yang dipasarkan di Malaysia kini didatangkan dengan jaminan kenderaan baru selama lima tahun tanpa had perbatuan. Waranti baru ini menggantikan perlindungan sebelum ini yang menawarkan tempoh tiga tahun atau 100,000 kilometer, sekaligus memberikan nilai tambah kepada pelanggan yang membeli model terpilih.

Model yang menerima manfaat tersebut ialah Suzuki Jimny AllGrip Plus, Jimny Rhino Plus, Fronx dan Fronx Sport. Bagaimanapun, waranti baru ini hanya ditawarkan kepada pelanggan yang membuat pembelian kenderaan baru dan tidak terpakai kepada pemilik sedia ada bagi model-model berkenaan.

Tempoh perlindungan itu turut menyamai waranti yang ditawarkan bersama Suzuki eVitara yang baru dilancarkan di Malaysia. Bagi model elektrik sepenuhnya itu, pelanggan turut menerima waranti lima tahun atau 100,000 kilometer untuk komponen kenderaan elektrik (BEV) serta waranti bateri selama lapan tahun atau 160,000 kilometer.

Awal bulan ini, Naza Eastern Motors memperkenalkan Suzuki Jimny AllGrip Plus dan Jimny Rhino Plus sebagai dua varian terbaru bagi Jimny tiga pintu di Malaysia. Jimny AllGrip Plus ditawarkan pada harga RM158,900, manakala Jimny Rhino Plus berharga RM173,900, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

Jimny AllGrip Plus menerima pelbagai penambahbaikan termasuk sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) serta ciri keselesaan dan kemudahan yang lebih lengkap berbanding varian terdahulu. Sementara itu, Jimny Rhino Plus menampilkan beberapa sentuhan kosmetik tambahan seperti rim aloi 15 inci berkilat, penutup tayar simpanan dengan logo Rhino, kemasan gril hadapan, pelindung bampar hadapan, kemasan sisi badan dan pelindung hujan pada tingkap.

Dari segi mekanikal, kedua-dua model masih mengekalkan enjin petrol K15B 1.5 liter empat silinder NA dengan teknologi VVT yang menghasilkan 102 PS dan 130 Nm tork. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan serta sistem pacuan empat roda separuh masa yang menawarkan mod 2H, 4H dan 4L untuk kegunaan di pelbagai permukaan jalan.

Struktur casis Jimny juga kekal menggunakan binaan ladder frame bersama suspensi gandar tegar, manakala rim aloi bersaiz 15 inci dipadankan dengan tayar bersaiz 195/80R15 bagi mengekalkan keupayaan offroad yang menjadi identiti model tersebut.

Pada masa sama, Suzuki turut memperkenalkan Fronx Sport di Malaysia sebagai versi yang menampilkan pembaharuan dari segi penampilan luaran, namun masih mengekalkan spesifikasi mekanikal Fronx Hybrid. Ketika pelancarannya, Naza Eastern Motors mengumumkan penurunan harga bagi Fronx Hybrid kepada RM118,888 atas jalan tanpa insurans, berbanding harga pelancaran asal RM147,888 pada November tahun lalu.

Suzuki Fronx dan Fronx Sport dikuasakan enjin K15C 1.5 liter empat silinder NA yang digabungkan dengan sistem Integrated Starter Generator (ISG). Rangkaian kuasa ini menghasilkan 103 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,400 rpm, disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan.

Kedua-dua varian Fronx menggunakan suspensi hadapan jenis MacPherson dan suspensi belakang torsion beam. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berliang di hadapan dan brek dram di belakang, manakala berat bagi kedua-dua model dinyatakan pada 1,480 kilogram.

Tags: , ,