Hyundai N i20 N generasi baru akan muncul di Eropah – pilihan hot-hatch lebih mampu milik berbanding EV

Dua tahun lalu, jenama prestasi Hyundai iaitu Hyundai N pernah menghentikan penjualan model-model dengan enjin pembakaran dalaman dan hanya fokus terhadap model-model prestasi EV iaitu Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N. Namun dengan perkembangan terkini di mana Kesatuan Eropah telah pun menarik balik pengharaman jualan kereta enjin pembakaran dalaman menjelang 2035, kereta-kereta prestasi Hyundai N dengan enjin petrol bakal kembali semula ke benua berkenaan.

Dan model pertama yang bakal di bawa semula ke Eropah adalah model paling kecil dalam keluarga N iaitu hot-hatch i20 N. Ketika persaingan hot-hatch kompak di Eropah kini sudah beralih kepada EV dengan model seperti Volkswagen ID.Polo GTI, Peugeot e-208 GTI dan Alpine A290, i20 N generasi baharu ini bakal menawarkan pilihan hot-hatch mampu milik berkuasa petrol untuk pembeli muda di sana.

“i20 N untuk Eropah adalah perlu,” kata presiden dan ketua divisi R&D global Hyundai Motor, Manfred Harrer dalam laporan Autocar. Harrer menjelaskan bahawa jurang harga antara model-model petrol N sebelum ini berbanding model-model EV N adalah agak besar, iaitu bermula 65,000 pound sterling (sekitar RM357k) di United Kingdom.

Hyundai N i20 N generasi baru akan muncul di Eropah – pilihan hot-hatch lebih mampu milik berbanding EV

Hyundai i20 generasi keempat yang didedahkan di Brazil

“Kami perlukan model-model entry-level ini kembali untuk peminat-peminat kami,” kata Harrer lagi dan menambah: “Kami sedang berusaha secara intensif untuk melakukannya secepat mungkin”.

Harrer juga mengesahkan bahawa prototaip bagi i20 N generasi baharu tersebut kini sedang diuji, dan pelancarannya akan dibuat “tidak lama lagi”. Beliau turut membayangkan model generasi baharu bakal menggunakan enjin 1.6 liter turbo dari model generasi sebelumnya, tetapi dipadankan dengan sistem hibrid.

“Saya mahu ke Nürburgring dan catatkan masa lap yang benar-benar berjaya – lebih baik dari model sedia ada. Tapi anda perlu tumpukan terhadap sistem pengurusan bateri untuk memastikan ia menjadi,” kata Harrer.

Hyundai i20 N telah disahkan bakal kembali menerusi model generasi kedua menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh bos divisi N Hyundai, Joon Park tahun lalu, di mana beliau menegaskan bahawa Hyundai N tidak akan hanya menumpukan terhadap model-model EV sahaja.

Hyundai N i20 N generasi baru akan muncul di Eropah – pilihan hot-hatch lebih mampu milik berbanding EV

Hyundai i20 generasi keempat yang didedahkan di Brazil

“Masalahnya kami mendapat persepsi dari media dan peminat bahawa Hyundai N hanya menumpukan perhatian terhadap dunia EV, di mana ianya tidak benar. Kami tak hadkan tumpuan kami hanya terhadap EV,” katanya.

Hyundai i20 N generasi baharu ini akan diasaskan dari versi asas i20 generasi keempat yang membuat kemunculan global sulungnya di Brazil dua minggu lalu. Model generasi terkini berkenaan hadir dengan rekaan baharu yang digelar sebagai “art of steel” yang nampak lebih bersegi, serta menggabungkan ciri-ciri hatchback dan SUV.

Di Brazil model asas tersebut, ia digerakkan dengan dua jenis unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.0 liter tiga-silinder NA yang menghasilkan kuasa sehingga 80 hp/100 Nm, dan juga 1.0 liter tiga-silinder turbo yang ditala sehingga 115 hp/172 Nm.

GALERI: Hyundai i20 N generasi keempat pasaran Brazil

Tags: