Pelaksanaan tol MLFF tidak boleh bebankan pengguna

Kerajaan mengatakan bahawa rundingan perniagaan antara pihak berkepentingan mengenai pelaksanaan sistem tol multi-lane fast flow (MLFF) berada di peringkat lanjutan, tetapi persetujuan muktamad masih belum dicapai, lapor New Straits Times.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, cabaran utama yang perlu diatasi adalah bagaimana untuk menyatukan 34 syarikat konsesi agar mencapai persetujuan bersama. Ini berbeza dengan keadaan di negara-negara yang hanya mempunyai satu badan pengendali sahaja yang mengawal keseluruhan rangkaian lebuh raya. Bagaimanapun, kerajaan tidak akan campur tangan dalam perbincangan antara syarikat konsesi lebuh raya tersebut, jelas beliau.

“Ia adalah model pengurusan antara perniagaan, yang bermakna terdapat sangat sedikit campur tangan atau penyertaan kerajaan dalam hal tersebut. Kami membenarkan orang yang berada dalam perniagaan itu sendiri untuk berkumpul, menyelesaikan masalah, serta mewujudkan sistem terbaik dengan harga terbaik,” kata beliau lagi.

Pelaksanaan tol MLFF tidak boleh bebankan pengguna

Beliau menambah, satu-satunya syarat yang ditetapkan oleh kerajaan adalah berkaitan dengan harga, iaitu pengguna jalan raya tidak boleh dipaksa membayar lebih untuk tol. “Ini penting kerana sistem ini boleh menjadi sangat baik, tetapi jika kita perlu mengenakan kadar tol yang lebih tinggi, maka ia tidak baik untuk kita kerana kita tidak mahu pengguna jalan raya dibebani dengan kos yang lebih tinggi,” jelasnya lagi.

Alexander berkata, matlamat MLFF adalah untuk mempunyai satu sistem yang lancar yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya tanpa kekeliruan, tanpa mengira lebuh raya mana yang mereka gunakan. “Apa yang kita mahukan adalah agar pengguna jalan raya tidak dibebani oleh sistem yang berpecah-belah. Mereka (pemegang konsesi) mesti mempunyai satu sistem yang lengkap, bersepadu sepenuhnya, supaya pengguna jalan raya boleh menggunakannya dengan lancar. Tetapi bukan mudah bagi kita untuk memberitahu mereka untuk menerima pakai satu sistem. Mereka perlu bersetuju antara mereka,” katanya.

Beliau menambah bahawa tidak semua pemegang konsesi semestinya akan bersetuju, kerana sesetengah jajaran lebuh raya mungkin tidak memerlukan pelaksanaan sistem tersebut.