
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026. Di mana penurunan harga ini akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui Budi Madani RON95 (BUDI95).
Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kewangan (MOF), melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga dan cara yang sama di seluruh negara, termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada hargan tanpa subsidi.

“Dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, langkah ini penting bagi memastikan subsidi Kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysian serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi,” menurut kenyataan terbabit.
Perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk ke luar negara. Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.
Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi. Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok (22 Jun 2026).
