Minggu lalu Hyundai telahpun mendedahkan sedan segmen-C Elantra generasi baharu ketika berlangsungnya Busan Mobility Show (BIMOS) 2026 di Korea Selatan. Dan ketika mendedahkan model berkenaan, naib presiden eksekutif dan ketua rekaan global Hyundai & Genesis Sang Yup Lee turut memberikan gambaran bahawa Elantra (atau dikenali sebagai Avante di negara asalnya) bakal muncul dalam versi prestasi dengan lencana sayap perlumbaan N, iaitu Elantra N seperti model generasi sedia ada.
“Walaupun pada saat ini, kami sedang menyiapkan Elantra yang paling sporty setakat ini. Menjadikan fender yang sudah sedia lebar lebih lebar. Menjadikan rasa sporty lebih sporty. Saya juga menghitung hari dengan penuh semangat seperti anda semua. Dengan itu, saya akan memuktamadkan pendedahan reka bentuk hari ini,” kata Lee.
Ucapan yang yang dibuat oleh Lee ini dapat dirakam dan di muatnaik oleh akaun instagram CarSceneKorea, dan ia tidak dicatatkan dalam mana-mana kenyataan media.
Seperti yang diucap oleh Lee, model standard Elantra generasi kelapan ini sudahpun nampak begitu sporty dengan fender yang direka lebar dan nampak ‘berotot’. Sekiranyanya fender berkenaan dilebarkan lagi, sudah tentu sedan ini nampak jauh lebih agresif.
Elantra 2027 menerima bahasa rekaan terbaharu Hyundai yang digelar sebagai “Art of Steel” sama seperti hatchback i20 generasi baharu (turut disahkan akan tampil dengan versi N) yang didedahkan di Brazil baru-baru ini. Rekaan ini nampak futuristik menerusi lampu-lampu hadapan dan belakang LED yang hanya tampil seperti jalur, tetapi dalam masa yang sama ia diberikan ‘perisa’ retro dengan menampilkan panel-panel badan yang direka bersegi.
Bahagian belakang menerapkan rekaan seperti fastback bersama spoiler ‘ekor itik’ yang tajam dan terbina sekali dengan penutup but belakang, serta panel diffuser di bawah bampar belakang menampilkan rupa yang sangat agresif seolah-olah ia masih dalam peringkat konsep.
Dengan fender yang lebih lebar bakal diberikan pada Elantra N generasi baharu kelak, ia pastinya menerima geometri suspensi yang telah diubah bagi memberikan trek roda yang lebih lebar seperti apa yang Honda serta Toyota buat pada model prestasi Civic Type R dan GR Corolla. Perubahan ini akan memberikan cengkaman lebih baik dan mampu meredah selekoh dengan lebih laju. Bagi model Elantra N generasi sedia ada, ia tidak menerima fender yang lebih lebar seperti yang bakal dibuat pada model generasi baharu ini.
Elantra N generasi baharu ini juga mungkin bakal menerima enjin pra-produksi yang disumbat pada kereta lumba Elantra N1 RP yang berlumba di Nurburgring 24-Jam pada Mei lalu. Hyundai sebelum ini mengesahkan bahawa enjin prototaip tersebut bakal dijadikan enjin produksi pada model baharu masa hadapan yang menampilkan karekter kuasa dan respon dipertingkat bersama kebolehan berlumba yang ditambah baik, dalam masa yang sama masih memenuhi standard emisi masa kini.
Objektif yang ingin dicapai oleh Hyundai dalam perlumbaan tersebut adalah untuk menguji ketahanan enjin prototaip berkenaan, dan ia sama seperti enjin prototaip 2.0T Theta yang digunakan pada kereta lumba ujian i30 pada perlumbaan Nurburgring 24 Jam pada 2016, yang kemudiannya diterjemahkan sebagai enjin produksi untuk model produksi i30 N.
Tiada sebarang perincian berkenaan enjin prototaip baharu tersebut didedahkan setakat ini. Namun kereta lumba Elantra N1 RP berkenaan bertanding dalam kelas SP4T, iaitu kategori yang menggunakan enjin 2.0 liter hingga 2.6 liter turbo. Mungkin Elantra N generasi baharu berkenaan akan menerima enjin 2.5 liter turbo baharu seperti yang telah disebut oleh Penasihat Teknikal Eksekutif Hyundai Motor Group (HMG), Albert Biermann sebelum ini?


