Porsche Taycan, Macan di Malaysia naik harga antara RM145,000 ke RM410,000 kesan cukai EV CBU

Porsche Malaysia membuat kemas kini kepada harga jualan barisan kenderaan elektrik (EV) keluarannya, dengan semua model dan varian kini dijual pada harga yang lebih tinggi. Kenaikan yang dibuat mencecah sehingga RM410,000 bergantung kepada model.

Bagi Taycan, varian asas yang sebelum ini bermula pada harga RM575,000 kini dijual pada harga RM775,000, meningkat sebanyak RM200,000. Taycan 4S pula kini berharga RM890,000 selepas naik RM215,000, manakala Taycan Turbo meningkat RM315,000 kepada RM1.22 juta.

Kenaikan terbesar melibatkan Taycan Turbo S, yang kini dijual pada harga RM1.47 juta, iaitu RM410,000 lebih mahal berbanding sebelum ini. Versi wagon, Taycan Cross Turismo, turut menerima pelarasan harga. Varian asas kini bermula pada RM845,000, meningkat RM220,000, manakala Cross Turismo 4S turut naik RM220,000 kepada RM920,000. Sementara itu, Cross Turismo Turbo kini dijual pada harga RM1.235 juta selepas kenaikan sebanyak RM320,000.

Porsche Taycan, Macan di Malaysia naik harga antara RM145,000 ke RM410,000 kesan cukai EV CBU

Macan EV yang merupakan SUV elektrik penuh terbaru jenama itu di Malaysia turut mengalami kenaikan harga. Varian asas kini bermula pada RM430,000, iaitu RM145,000 lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Bagi varian lain, Macan 4 meningkat RM150,000, Macan 4S naik RM175,000 dan Macan Turbo pula bertambah RM210,000. Sementara itu, Macan GTS yang baru sahaja diumumkan harga rasminya ditawarkan pada RM775,000, sekaligus berada di antara Macan 4S yang berharga RM700,000 dan Macan Turbo pada RM845,000.

Pengedar rasmi Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP), tidak memberikan penjelasan khusus mengenai sebab kenaikan harga tersebut. Namun, pelarasan ini dipercayai berkait rapat dengan tamatnya tempoh pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU).