Kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan laluan Smart Lane di lebuhraya masih dianggap rendah dan berdasarkan rekod terkini, hanya 36 kemalangan dicatatkan di 12 lokasi Smart Lane (yang diaktifkan pada hari waktu bekerja) sepanjang Januari hingga Mei 2026, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, majoriti kes yang direkodkan hanya melibatkan kemalangan kecil seperti tercalar atau geselan kenderaan. “Hasil analisis menunjukkan bahawa punca utama kemalangan di zon ini berpunca daripada sikap pengguna yang gagal mematuhi arahan seperti menggunakan lorong kecemasan sebelum zon Smart Lane bermula atau selepas zon tersebut tamat.
“Faktor lain yang turut menyumbang ialah tindakan menukar lorong secara berbahaya tanpa memberikan lampu isyarat atau tanpa memastikan jarak selamat yang mencukupi serta tindakan pemandu yang memberhentikan kenderaan di laluan Smart Lane tanpa sebarang kes kecemasan, sekaligus menghalang kelancaran aliran trafik,” katanya.
Kenyataan beliau ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Zakri Hassan (AP Kangar) dalam Dewan Rakyat di Parlimen pagi ini yang ingin mengetahui kadar kemalangan yang berlaku di zon Smart Lane.
Zakri turut mengajukan KKR menyatakan justifikasi perlaksanaan laluan Smart Lane di beberapa jajaran lebuh raya PLUS mengambil kira keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal.
Alexander menjawab, kementeriannya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memberi penekanan mengenai kepentingan aspek keselamatan dalam pengoperasian lebuh raya merangkumi pelaksanaan Smart Lane di lebuh raya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pengguna lebuh raya, termasuk penunggang motosikal.
“Penilaian teknikal akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum LLM membenarkan pengaktifan Smart Lane dilaksanakan oleh syarikat konsesi di satu–satu lokasi tertentu sepanjang lebuh raya. Antara aspek yang dinilai adalah kesesuaian fizikal bagi memastikan lebar lorong kecemasan yang digunakan memenuhi kriteria minimum untuk pergerakan kenderaan ringan dan struktur permukaan jalan sedia ada mampu menampung bebanan trafik semasa Smart Lane diaktifkan.
“Sekiranya diperlukan, syarikat konsesi akan diminta untuk mengemukakan Laporan Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) untuk semakan pihak LLM sebelum lokasi berkenaan dibenarkan untuk diaktifkan Smart Lane,” jelasnya.
Tambahnya lagi, aspek amaran visual mengenai pengaktifan Smart Lane turut diperkukuh melalui pemasangan papan tanda pemberitahuan pada setiap jarak 500 meter dan lampu isyarat hijau bertujuan memaklumkan pengguna mengenai waktu pengaktifan Smart Lane bagi memastikan pengguna termasuk penunggang motosikal peka mengenai zon pengaktifan Smart Lane tersebut.
“Lorong kecemasan bukan merupakan laluan eksklusif untuk penunggang motosikal sebaliknya boleh diguna pakai untuk kegunaan lain termasuk pengaktifan Smart Lane dan tidak terhad kepada kegunaan kecemasan sahaja,” katanya.
Berdasarkan pemantauan oleh LLM bagi tempoh tahun 2023 hingga kini, inisiatif Smart Lane secara keseluruhannya telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi dan berjaya mengurangkan kadar kesesakan trafik antara 30% hingga 50%, katanya. Di mana dari sudut keselamatan, kadar kemalangan di zon lokasi Smart Lane didapati adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan isipadu trafik yang menggunakan laluan berkenaan.



