Jenama kenderaan elektrik (EV) dari China, Arcfox, yang merupakan divisyen di bawah BAIC, dilihat bakal memasuki pasaran Malaysia. Petunjuk terbaru dikesan apabila laman web global syarikat itu memasukkan Malaysia dalam senarai antara pasaran yang telah atau bakal menerima kehadiran jenama tersebut
Walaubagaimanapun, setakat ini Arcfox masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai rancangan pelancarannya di Malaysia. Dalam laman web, syarikat itu hanya menyatakan sasaran untuk memberi tumpuan kepada enam pasaran serantau, mengembangkan operasi ke lebih 40 negara dan wilayah, selain membina rangkaian jualan serta perkhidmatan yang menyeluruh.
Pada masa ini, laman web Arcfox memaparkan empat model utama iaitu sedan S5 serta tiga crossover yang terdiri daripada T1, T5 dan Kaola S. Kesemua model ini menyertai Alpha-T yang diperkenalkan pada tahun 2020.
Daripada empat model tersebut, S5 merupakan satu-satunya sedan dalam barisan model Arcfox. Ia berukuran 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,480 mm tinggi, dengan jarak roda 2,900 mm serta dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci.
Arcfox hanya mendedahkan bahawa S5 menggunakan transmisi satu kelajuan, menawarkan sembilan mod pemanduan serta dilengkapi pakej bantuan pemandu Tahap 2+. Maklumat lanjut mengenai sistem kuasa bagaimanapun tidak didedahkan dalam laman web rasmi.
Menurut laporan Car News China, model yang dikenali sebagai Alpha S5 di pasaran China itu ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dua-motor yang menghasilkan sehingga 390 kW (530 PS) dan 690 Nm. Pecutan 0-100 km/j didakwa mampu dicapai dalam masa 3.7 saat. Ia menggunakan bateri LFP berkapasiti 74.4 kWh yang menyokong pengecasan pantas DC, dengan masa pengecasan daripada 30 hingga 80% hanya sekitar enam minit.
Bagi model crossover, T1 merupakan model kompak dengan ukuran 4,337 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,572 mm tinggi, serta jarak roda 2,770 mm. Ia menggunakan rim aloi 18 inci, menawarkan tujuh mod pemanduan dan 12 ciri bantuan pemandu Tahap 2. Ruang kargo pula berkapasiti antara 459 hingga 1,352 liter bergantung kepada konfigurasi tempat duduk.
Sementara itu, T5 merupakan crossover saiz pertengahan dengan dimensi 4,690 mm panjang, 1,936 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, bersama jarak roda 2,845 mm. Arcfox menyatakan model ini mempunyai kelegaan tanah setinggi 156 mm, mampu mendaki cerun sehingga 30% dan mempunyai berat 1,975 kg. Seperti model lain dalam barisannya, T5 turut dilengkapi sistem bantuan pemandu Tahap 2.
Menurut Car News China lagi, Alpha T5 yang dipasarkan di China menggunakan bateri ternary NMC berkapasiti 79.2 kWh yang boleh dicas daripada 30 hingga 80% dalam tempoh 18 minit. Kuasa disalurkan kepada motor elektrik tunggal di hadapan yang menghasilkan 200 kW (272 PS) dan 360 Nm. Model ini dikatakan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat, dengan kelajuan maksimum 180 km/j.
Turut ditawarkan ialah Kaola S, sebuah SUV lima tempat duduk yang menampilkan pintu gelongsor di bahagian penumpang hadapan bagi memudahkan keluar masuk penumpang. Pintu belakang di bahagian pemandu pula masih menggunakan rekaan konvensional.
Kaola S berukuran 4,500 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,655 mm tinggi, dengan jarak roda 2,820 mm. Ia turut menawarkan ketinggian lantai masuk ke kabin hanya 340 mm serta menyediakan sebanyak 29 ruang simpanan di dalam kabin.
Dari segi kelengkapan, Kaola S dilengkapi sistem bantuan pemandu Tahap 2 dan sistem infotainmen dengan skrin bersaiz 14.6 inci yang menggunakan cip Snapdragon 8155. Arcfox mendakwa model ini mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 315 km mengikut standard WLTC atau 258 km mengikut piawaian WLTP. Pengecasan pantas DC pula mengambil masa sekitar 26 minit untuk mengecas bateri daripada 30 hingga 80%.
Bagaimanapun, Car News China melaporkan bahawa Kaola S sebenarnya menggunakan bateri LFP berkapasiti 58.8 kWh yang boleh dicas daripada 30 hingga 80% dalam masa 18 minit. Motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan menghasilkan 150 kW (204 PS) dan 255 Nm.
Ini membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa lapan saat sementara jarak perjalanan yang boleh dicapai pula didakwa sehingga 705 km mengikut standard CLTC, bersamaan sekitar 578 km mengikut piawaian WLTP.
Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan model manakah yang bakal dibawa masuk ke Malaysia sekiranya kemasukan Arcfox ke pasaran tempatan disahkan. Sama ada jenama ini akan menawarkan keseluruhan rangkaian model atau hanya beberapa pilihan tertentu juga dijangka hanya akan diketahui apabila pengumuman rasmi dibuat kelak.
GALERI: Arcfox S5
GALERI: Arcfox T1
GALERI: Arcfox T5
GALERI: Arcfox Kaola S



