BMW Clubhouse Malaysia berlangsung 17-19 Julai ini – M3 CS Touring, M2 CS bakal dilancar untuk pasaran?

BMW Group Malaysia bakal menganjurkan acara tahunannya, BMW Clubhouse 2026, dari 17 hingga 19 Julai ini di Factory 19, Petaling Jaya. Seperti sebelumnya, acara ini dijangka menjadi pentas pelancaran beberapa model baru untuk pasaran tempatan.

Tahun lalu, acara MY BMW World menyaksikan kemunculan sulung 2 Series Gran Coupé generasi terkini di Malaysia. Namun berdasarkan video teaser yang dikongsikan menerusi media sosial, acara tahun ini dijangka menawarkan sesuatu yang lebih menarik.

Walaupun imej kenderaan dalam video tersebut dikaburkan, beberapa petunjuk jelas dapat dilihat. Antaranya ialah lampu hadapan baru BMW M3 LCI dengan rekaan lampu hadapan “fanged“, selain reka bentuk rim aloi bersaiz 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang yang sebelum ini eksklusif untuk M3 CS. Lebih menarik lagi, bentuk badan wagon turut kelihatan dalam video berkenaan.

Ini memberi bayangan bahawa M3 CS Touring mungkin bakal diperkenalkan secara rasmi di Malaysia. Jika benar, ia merupakan perkembangan yang cukup menarik memandangkan model-model BMW M versi CS dan CSL yang lebih ekstrem jarang sekali dibawa masuk melalui saluran rasmi. Malah, model wagon biasa yang bukan daripada keluarga M juga kebiasaannya hanya ditawarkan menerusi tempahan khas.

BMW M3 CS Touring merupakan versi yang lebih berorientasikan prestasi berbanding M3 Touring standard. Model ini menerima beberapa komponen gentian karbon seperti bonet hadapan dengan liang udara, konsol tengah serta tempat duduk M Carbon Bucket sebagai kelengkapan standard, sekaligus mengurangkan berat sebanyak 15 kg.

Selain itu, ia turut tampil berbeza dengan splitter hadapan yang lebih agresif, gril hadapan yang direka semula serta pelbagai komponen luaran gentian karbon bagi memberikan penampilan yang lebih garang.

Di bawah bonet, enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar S58 telah dipertingkatkan untuk menghasilkan 550 PS dan 650 Nm, iaitu tambahan 20 PS berbanding M3 Touring biasa. Ia kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF serta sistem pacuan semua roda M xDrive.

Hasilnya, M3 CS Touring mampu memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas daripada model standard. Dengan pakej M Driver’s Package, kelajuan maksimum turut meningkat kepada 300 km/j.

Model ini juga menerima talaan baru pada tapak enjin, sistem stereng dan suspensi adaptif bagi meningkatkan lagi ketangkasan pengendalian. Dari segi harga, ia dijangka berada jauh lebih tinggi berbanding BMW M3 Competition Sedan M xDrive yang kini dijual pada harga bermula RM847,800.

BMW Clubhouse Malaysia berlangsung 17-19 Julai ini – M3 CS Touring, M2 CS bakal dilancar untuk pasaran?

Selain M3 CS Touring, BMW Group Malaysia turut memberi bayangan mengenai ketibaan M2 CS menerusi satu lagi video teaser yang dikongsikan di LinkedIn.

Model tersebut dapat dikenal pasti menerusi rekaan rimnya serta gril kidney bersaiz besar. Seperti M3 CS Touring, M2 CS turut menerima pelbagai komponen gentian karbon pada bahagian luar dan dalam kabin, termasuk penutup but belakang dengan spoiler jenis ducktail, sekaligus mengurangkan berat sebanyak 30 kg berbanding M2 standard.

Suspensinya turut ditala semula dengan ketinggian badan direndahkan sebanyak 30 mm bagi memberikan karakter pemanduan yang lebih sporty.

Enjin S58 pada M2 CS menghasilkan 530 PS dan 650 Nm, iaitu tambahan 50 PS dan 50 Nm berbanding M2 biasa. Kuasa hanya disalurkan ke roda belakang, namun ia masih mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Dengan M Driver’s Package, kelajuan maksimum meningkat kepada 302 km/j.

Sudah tentu, harga M2 CS dijangka lebih tinggi daripada BMW M2 standard yang kini ditawarkan pada harga bermula RM656,800.

Selain model-model berprestasi tinggi daripada divisyen M, syarikat itu turut mengesahkan beberapa model dan varian baru lain akan diperkenalkan sepanjang acara tersebut, dengan teaser yang dikongsi memaparkan beberapa model seperti BMW 3 Series, X7, iX1, 2 Series Gran Coupé dan iX.

GALERI: BMW M3 CS Touring

GALERI: BMW M2 CS

Tags: ,