Selepas keluar teaser di laman sosial, kini Lexus Malaysia telahpun mengemaskini laman sesawang rasminya dengan mewujudkan satu halaman khas untuk model generasi ke-lapan Lexus ES (XZ20) yang bakal dilancarkan di sini tak lama lagi. Menerusi halaman tersebut harga anggaran bagi ES generasi baharu ini telahpun diumumkan iaitu RM366,888, dan ia hanya ditawarkan dalam versi unit rangkaian kuasa hibrid.
Ini bermakna model generasi baharu ini akan dijual lebih mahal dari model generasi ke-tujuh yang ditawarkan pada harga RM320,888. Lexus ES generasi terkini ini didedahkan buat pertama kali pada peringkat global ketika berlangsungnya acara Auto Shanghai pada April tahun lalu. Ia masih diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture – K (GA-K) namun telah menerima kejuruteraan semula “multi-pathway” yang bukan sahaja boleh menerima unit rangkaian kuasa hibrid, malah turut boleh disesuaikan dengan penggerak elektrik sepenuhnya menggunakan bateri (BEV).
Namun seperti yang disebut tadi, model pasaran Malaysia nampaknya hanya ditawarkan dalam versi hibrid. Lexus Malaysia menyatakan unit rangkaian kuasa tersebut menggunakan sistem hibrid Lexus generasi ke-enam, tetapi masih belum diperincikan dari varian mana – ketika muncul di Shanghai tahun lalu, ES Hybrid ini ditawarkan dalam versi ES300h dan juga ES350h.
Di China varian ES300h menampilkan enjin petrol M20-FXS 2.0 liter empat-silinder NA berkuasa 152 PS dan tork maksima 188 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 113 PS/206 Nm bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 197 PS. Kuasa tersebut dialirkan hanya ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j.
Namun di Australia, ES300h datang dengan enjin petrol A25A-FXS 2.5 liter NA berkuasa 143 PS dan tork maksima 227, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 204 PS/270 Nm bagi memberikan kuasa keseluruhan 196 PS.
Manakala pada pasaran Jepun dan Amerika Syarikat, enjin A25A-FXS berkenaan dipadankan pada varian ES350h yang merupakan varian asas di kedua-dua pasaran tersebut. Di Jepun, enjin 2.5 liter NA berkenaan menghasilkan kuasa 189 PS dan tork 235 Nm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 162 PS/272 Nm bagi memberikan kuasa keseluruhan 247 PS. Juga terdapat varian pacuan semua roda E-Four untuk ES350h pasaran Jepun, di mana ia ditambah dengan satu lagi motor elektrik dipadankan pada gandar belakang untuk memacu roda belakang berkuasa 56 PS/123 Nm.
Tidak seperti model-model generasi sebelum ini di mana ES adalah sedan entry level Lexus dan seakan Toyota Camry yang “dimewahkan”, ES generasi ke lapan ini nampaknya tampil tanpa sebarang imej Camry dan nampak benar-benar mewah. Asas rekaan ES baharu ini adalah dari model konsep LF-ZC yang menampilkan bahagian belakang yang landai seperti fastback serta lampu hadapan dan belakang yang nipis.
Ia juga dihasilkan lebih besar dengan dimensi panjang 5,140 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,555 mm, dan jarak roda sejauh 2,950 mm – atau 165 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 110 mm lebih tinggi dan jarak roda 80 mm lebih jauh dari model sebelumnya.
Berminat dengan model ini? Varian unit rangkaian kuasa yang mana agaknya akan diberikan untuk model pasaran Malaysia? Teruskan bersama kami untuk perkembangan seterusnya.
GALERI: Gambar rasmi Lexus ES generasi ke lapan




Lexus ES
dari RM 320,888
Lexus GX
dari RM 780,000
Lexus LBX
dari RM 238,888
Lexus RZ
dari RM 429,888
Lexus LM
dari RM 1,228,000
Lexus RX
dari RM 468,888
Lexus NX
dari RM 395,888
Lexus UX
dari RM 250,688
Lexus LS
dari RM 1,188,000