Mahkamah arah JPJ bayar ganti rugi RM40,000 kerana langgar hak cipta penghasilan plat istimewa MADANI

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar ganti rugi sebanyak RM40,000 kerana telah melanggar hak cipta penghasilan plat MADANI, laporan Sinar Harian.

Dalam penghakiman yang disampaikan pada Selasa lalu, Hakim, Datuk MM Edwin Paramjothy memutuskan Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd, Hasan Azhari Hashim selaku plaintif diberikan ganti rugi statutori dan tambahan berjumlah RM40,000 serta kos sebanyak RM25,000.

Tindakan sivil itu difailkan pada 15 Januari 2025 susulan dakwaan penggunaan tanpa kebenaran karya seni promosi berhak cipta milik Hasan Azhari ketika pelancaran program bidaan nombor pendaftaran khas itu oleh kerajaan.

Menurut kenyataan media, peguam plaintif, Rajesh Nagarajan pada Khamis berkata, sebelum pelaksanaan program berkenaan, anak guamnya telah menghasilkan cadangan plat nombor pendaftaran khas itu malah mendaftarkan karya berhak cipta bertajuk ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri MADANI 1 sehingga MADANI 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia’ dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Mahkamah arah JPJ bayar ganti rugi RM40,000 kerana langgar hak cipta penghasilan plat istimewa MADANI

Beliau berkata, plaintif turut mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan beberapa kali, namun ia ditolak atas pertimbangan dasar. Bagaimanapun katanya, kerajaan selepas itu meneruskan program bidaan awam bagi siri MADANI yang didakwa menggunakan bahan promosi berhak cipta milik Hasan Azhari tanpa kebenaran.

Pada 25 Oktober 2024, JPJ mengumumkan sebanyak RM2.6 juta telah dikutip hasil penjualan siri MADANI itu, di mana MADANI 6 telah dibida dengan harga paling tinggi iaitu RM68,888. Diikuti MADANI 5 dengan harga RM58,001, MADANI 4 (RM55,000), MADANI 3 (RM51,111) dan MADANI 33 (RM42,110). Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah seramai 5,632 orang dan sebanyak 3,263 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

Sementara itu, pada 5 November 2024, media melaporan Hasan Azhari telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta berhubung dakwaan pelanggaran harta intelek itu. Menerusi surat tuntutan berkenaan, beliau menuntut bayaran ganti rugi bersamaan separuh daripada hasil penjualan nombor plat tersebut, dalam tempoh tujuh hari selepas surat berkenaan diterima. Berdasarkan dokumen berkenaan, Hasan Azhari mendakwa menjadi pemilik sah karya hak cipta terbabit, mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.