
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa inisiatif pemasangan lampu jalan LED berkuasa solar di lokasi-lokasi berisiko berlaku kemalangan di lebuh raya bertol seluruh negara akan dilaksanakan mulai 30 Jun ini.
Menurut Ketua Pengarah LLM, Ir. Mohd Hadzmir Yusoff, pihaknya komited dalam memperkukuh aspek keselamatan pengguna lebuh raya menerusi insiatif ini, selaras dengan pengumuman YPerdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan Malaysia 2026 pada 10 Oktober 2025 yang memperkenalkan pelbagai ikhtiar bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, termasuk pemasangan 3,000 unit lampu LED di lokasi tumpuan lebuh raya yang dikenalpasti mempunyai risiko kemalangan yang tinggi.
Tambahnya, pemilihan lokasi adalah berdasarkan kawasan kerap berlakunya kemalangan (blackspot) serta lokasi yang mencatatkan kadar pemberat kemalangan yang tinggi berdasarkan analisis data kemalangan pada waktu malam.
Melalui projek ini, sebanyak 3,000 unit lampu jalan LED berkuasa solar akan dipasang melibatkan 32 lokasi di lebuh raya utama seluruh negara seperti Lebuhraya Utara Selatan (E1) (Utara) iaitu antara Persimpangan Bertingkat Sungai Buloh dan Persimpangan Bertingkat Gurun yang melibatkan 12 lokasi dengan pemasangan 1,005 tiang lampu LED.

Ia juga melibatkan Lebuhraya Seremban – Port Dickson (E29) antara Persimpangan Bertingkat Senawang dan Persimpangan Bertingkat Pedas Linggi dengan enam lokasi dan 567 tiang lampu, Lebuhraya Utara Selatan (E2) (Selatan) antara Persimpangan Bertingkat Ayer Keroh dan Persimpangan Bertingkat Yong Peng (Utara) dengan lima lokasi yang membabitkan pemasangan 738 tiang lampu LED.
Selain itu, inisiatif ini juga akan dilaksanakan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (E8) antara Karak dan Bentong, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (E8) antara Persimpangan Bertingkat Chenor dan Persimpangan Bertingkat Gambang) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (E8) antara Persimpangan Bertingkat Bukit Besi dan Persimpangan Bertingkat Ajil) yang melibatkan sembilan lokasi dengan 690 tiang lampu LED yang bakal dipasang.
Ir. Mohd Hadzmir turut berkata pelaksanaan projek ini dijangka memberikan manfaat yang signifikan kepada pengguna lebuh raya antaranya memaksimumkan kebolehlihatan pemanduan pada waktu malam di lokasi kerap berlakunya kemalangan dan kawasan berisiko tinggi di lebuh raya. Dalam masa yang sama, ia juga diharap mampu mengurangkan risiko berlakunya kemalangan khususnya pada waktu malam.
Semalam, majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek ini telah pun disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada empat kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek pemasangan lampu LED berkuasa solar di lokasi terbabit.
