Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom) mengumumkan bahawa ia kini antara tunggak penting perniagaan Automotif bagi Sime Darby Berhad (Sime), di mana fasiliti pemasangan kenderaan miliknya seluas 200-ekar di Kulim, Kedah merupakan salah sebuah syarikat pemasangan automotif kontrak yang terkemuka di Malaysia dengan memasang kenderaan untuk tujuh jenama global.
Ia termasuk tiga jenama dari Jerman iaitu BMW, MINI dan Porsche, dua dari Korea iaitu Hyundai dan Kia, serta masing-masing satu dari Jepun dan China iaitu Mazda dan Chery. Untuk Kia, walaupun ia masih ada dalam portfolio Inokom, baru-baru ini jenama tersebut mengumumkan bahawa pemasangan model-modelnya di Malaysia akan dipindahkan ke fasiliti pemasangan milik Stellantis di Gurun, Kedah. Kenderaan-kenderaan yang dipasang oleh kilang Inokom tersebut bukan hanya untuk pasaran Malaysia, malah turut dieksport ke pasaran terpilih di rantau ASEAN.
Kilang berkenaan berkenaan mempunyai kemudahan bersepadu untuk menghasilkan sebuah kenderaan lengkap, ia termasuk fasiliti kimpalan badan kenderaan (Body Shops), fasiliti cat (Paint Shops), fasiliti pemasangan (Assembly Shops) dan Gudang Pusat (Centralised Warehouses). Menurut Inokom, kesemua operasi setiap fasiliti ini dikendalikan oleh lebih 2,700 kakitangan mahir yang terdiri dari 100% warga Malaysia.
Inokom juga melancarkan kemudahan cat serba maju yang baharu di fasiliti ini, dan ia dijangka mengukuhkan lagi kapasiti operasi, membolehkan Inokom terus meningkatkan lagi keupayaan pengilangan Malaysia di peringkat global serta membolehkan syarikat tersebut memberi tumpuan kepada wawasannya untuk menjadi rakan automotif pilihan utama di rantau ASEAN.
Kilang Inokom ini telah beroperasi selama hampir tiga dekad, dengan pengeluaran pertama bermula pada tahun 1997. Syarikat tersebut kini dimiliki majoriti oleh Sime Motors (51%), dengan pemegang saham utama lain ialah Sime Darby Hyundai (5%), Hyundai Motor Company dari Korea Selatan (15%) dan Bermaz Auto (29%).
Inokom menyatakan bahawa jumlah pengeluaran telah meningkat dengan ketara, daripada 20,500 unit pada 2021 kepada lebih 31,800 unit pada 2025. Sepanjang tempoh ini, Inokom telah mengeksport sebanyak lebih 24,500 unit ke pasaran serantau, sekaligus menempa nama sebagai salah satu pengeksport automotif terbesar di Malaysia, dakwa Inokom dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Selain daripada kilang pemasangan, Inokom memainkan peranan aktif menyokong rantaian bekalan automotif Malaysia, yang membolehkan 370 vendor tempatan termasuk perusahaan bumiputera untuk menyertai rantaian bekalan globalnya.
“Inokom membuktikan keupayaan yang boleh dicapai oleh industri Malaysia. Syarikat kami terus diberi kepercayaan oleh jenama-jenama automotif terkemuka di dunia, dan ini menekankan keupayaan mendalam yang telah kami bina di Malaysia. Ini memang sejajar dengan kekuatan perindustrian dalam negara bernilai tinggi yang ingin dipupuk dan dilestarikan menerusi agenda GEAR-uP negara, khususnya sektor pembuatan bernilai tinggi yang dibina berasaskan kepakaran dan keupayaan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global,” kata CEO Kumpulan Sime, Dato’ Jeffri Salim Davidson.
Sebelum wujudnya kilang di Kulim ini, kerjasama antara Hyundai dan Inokom sebenarnya sudah bermula seawal 1993. Pada 2000, kilang tersebut diperluas kepada pemasangan kenderaan komersial dan penumpang, bermula dengan Inokom Lorimas (Hyundai Porter), dan disusuli oleh Inokom Atos pada 2002.
Kerjasama dengan Mazda pula bermula dengan pemasangan Mazda 3 CKD pada 2012, di mana operasi berkenaan menjadi titik mula untuk Inokom sebagai kilang pemasangan bagi kenderaan yang dipasang sepenuhnya di rantau ASEAN pada ketika itu. Manakala pada 2021, Porsche memilih Inokom sebagai kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah, dan pada 2024 unit-unit Porsche yang dipasang di Kulim ini turut dieksport ke Thailand.
Chery pula mula bekerjasama dengan Inokom bermula sebagai rakan pemasangan terus pada 2023 dengan pengeluaran bagi model-model seperti siri Omoda dan Tiggo, termasuk Chery Omoda E5 yang menjadi kenderaan elektrik (EV) pertama yang dipasang oleh Inokom.
Kilang Inokom Kulim ini juga menempatkan Kilang Pemasangan Enjin BMW Group, yang membekalkan enjin secara terus kepada fasiliti pemasangan kenderaan BMW. Fasiliti pemasangan ini ditubuhkan hasil kerjasama bersama Sime pada tahun 2003 dan mula beroperasi di Inokom sejak 2009. Kini, kilang tersebut merupakan kilang pemasangan enjin BMW ketiga terbesar di dunia.
Sejak 2018, BMW Group telah mengeksport lebih daripada 11,800 unit kenderaan BMW dan MINI yang dipasang di Inokom ke pasaran Filipina dan Thailand. Malah BMW turut meraikan pengeluaran kenderaan ke-100,000 yang dihasilkan di Inokom pada tahun 2022. Dan pada tahun ini, BMW i5 eDrive40 M Sport yang dipasang di Inokom direkodkan sebagai model BMW elektrik sepenuhnya pertama yang dipasang di rantau Asia Pasifik.
“Persekitaran automotif semakin pantas berubah dengan teknologi baharu, pasaran baru muncul dan jangkaan yang kian berubah. Kami bertekad untuk memastikan Inokom kekal di hadapan dengan terus melabur dalam kakitangan kami, menaik taraf piawaian dan meluaskan keupayaan. Sebagai peneraju industri di NCER, Inokom juga terus membuka peluang bermakna, daripada membangunkan kemahiran bernilai tinggi kepada menyokong perniagaan tempatan dan menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara secara lebih luas,” tambah Dato’ Jeffri.




