Kia Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), dengan Stellantis Malaysia bagi operasi pemasangan tempatan (CKD) model-modelnya yang akan datang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, menerusi kerjasama ini, Stellantis Malaysia akan berperanan sebagai pemasang kontrak bagi operasi CKD Kia di fasiliti pembuatannya di Gurun, Kedah.
Menurut Kia Malaysia lagi kerjasama dengan Stellantis Malaysia ini juga akan memanfaatkan ekosistem rantaian bekalan automotif Malaysia, serta membolehkan ia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memperluaskan penampilannya di sini serta memperkukuh kualiti pembuatan dan persediaan untuk memperkenalkan model-model baharu pada masa hadapan.
Operasi CKD Kia yang menggunakan fasiliti Stellantis Malaysia ini dijadualkan akan bermula pada suku ketiga tahun ini, dan kilang berkenaan buat masa sekarang mempunyai lebih dari 400 orang tenaga kerja.
Kilang berkenaan berkemampuan untuk memasang pelbagai model merentasi pelbagai jenis unit rangkaian kuasa, dan ia mampu menampung pengeluaran semua model Kia semasa termasuk Sportage dan Carnival, serta model-model baharu pada masa hadapan, kata syarikat tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan. Ketika Kia diuruskan oleh Bermaz sebelum ini, model seperti Carnival dan Sportage dipasang di kilang Inokon di Kulim, Kedah.
Kilang di Gurun, Kedah berkenaan sebenarnya adalah fasiliti sama memasang kenderaan-kenderaan jenama Kia di bawah pengurusan Naza sebelum ini yang bermula sejak 2004. Kilang yang dinamakan sebagai Naza Automotive Manufacturing berkenaan kemudiannya dijual kepada PSA Group pada 2018, dan akhirnya diambil alih sepenuhnya oleh Stellantis pada 2021.
“Kolaborasi ini merupakan satu pencapaian penting dalam strategi Kia untuk ‘Return, Rebuild, and Reposition’ kedudukan Kia di Malaysia. Bekerjasama dengan Stellantis Malaysia serta memanfaatkan ekosistem rantaian bekalan automotif Malaysia, Kia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memperluas kehadiran tempatan kami di samping memperkukuh kualiti pembuatan dan persediaan untuk memperkenalkan model -model baharu pada masa hadapan, selaras dengan aspirasi pertumbuhan kami di Malaysia dan rantau ini,” kata Presiden dan CEO Kia Malaysia serta Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim.
“Pemeteraian ini merupakan satu pencapaian bermakna dalam memperkukuh ekosistem pembuatan automotif Malaysia dan menekankan kepentingan kerjasama antara rakan industri dalam memacu pertumbuhan jangka panjang serta pembangunan ekonomi. Melalui pembangunan berterusan dan penggunaan keupayaan fasiliti Stellantis di Gurun, kami kekal komited untuk menyokong ekosistem automotif dan pembuatan yang lebih luas sambil mewujudkan nilai bersama kepada rakan kongsi, pembekal dan industri,” kata Pengarah Urusan ASEAN Stellantis, Isaac Yeo pula.

